AL-QURAN 1

Friday, December 15, 2017

Taharah / Bersuci

1. Definisi:

i) Dari segi bahasa: Suci dan bersih
ii) Dari segi istilah syarak: Suci dan bersih daripada najis atau hadas.

2. Taharah ialah anak kunci dan syarat sah salat.

3. Hukum taharah ialah WAJIB di atas tiap-tiap mukallaf lelaki dan perempuan.

4. Dalil naqli tentang suruhan bersuci adalah sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Anfal, ayat 11 yang bermaksud: "Dan (ingatlah ketika) Dia menurunkan kepada kamu hujan daripada langit untuk mensucikan kamu dengannya..."
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Agama islam itu diasaskan di atas kebersihan"

5. Tujuan taharah ialah bagi membolehkan seseorang itu menunaikan solat dan ibadah-ibadah yang lain.

6. Hikmah disuruh melakukan taharah ialah kerana semua ibadah khusus yang kita lakukan itu adalah perbuatan mengadap dan menyembah Allah Ta'ala. Oleh itu untuk melakukannya, maka wajiblah berada di dalam keadaan suci sebagai mengagungkan kebesaran Allah s.w.t. .

7. Faedah melakukan taharah ialah supaya badan menjadi bersih, sihat dan terjauh daripada penyakit serta mendatangkan kegembiraan kepada orang yang melaksanakannya.

8. Syarat wajib taharah ialah:
- Islam
- Berakal
- Baligh
- Masuk waktu (Untuk mendirikan solat fardhu)
- Tidak lupa
- Tidak dipaksa
- Berhenti darah haid dan nifas
- Ada air atau debu tanah yang suci.
- Berdaya melakukannya mengikut kemampuan.

9. Taharah adalah sebagai bukti bahawa Islam amat mementingkan kebersihan dan kesucian.

Rujukan Kitab:

1) Kitab Mattlaal Badrain oleh Syeikh Muhammad bin Daud Al-Fatani
2) Ringkasan Ibadah oleh Ibnu Rahmat .
3) Kitab Minhajul Muslim oleh Abu Bakar Jabir Al-Jazairi .
4) Fiqh Syafii oleh Hj.Idris Ahmad S.H.


Sumber :
http://jaipk.perak.gov.my/koleksi-solat/148-taharah-bersuci

Friday, October 6, 2017

JENIS AIR


1. Air terbahagi kepada empat bahagian iaitu:


a) Air Mutlaq:

Air yang suci lagi menyucikan ialah air mutlaq yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan oleh Allah s.w.t.

Air tersebut masih dikatakan air mutlaq walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar, disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang. Hal ini kerana air itu sukar untuk dielakkan daripada perkara tersebut.

Dalil yang menunjukkan kesucian air mutlaq, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Daripada Abu Hurairah r.a.h. katanya, seorang Badwi berdiri lalu terkencing di dalam masjid, kemudian para sahabat pergi mencegahnya. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, biarkan dia dan curahkanlah di atas air kencingnya setimba air. Sesungguhnya kamu disuruh untuk mempermudahkan bukan menyusahkan".

Perintah Rasulullah s.a.w. supaya menjiruskan air ke tempat air kencing tersebut adalah dalil yang menunjukkan bahawa air tersebut mempunyai sifat menyucikan.


b) Air Musta'amal:

Iaitu air yang suci pada dirinya tetapi tidak menyucikan yang lain yang mana maksudnya dengan perkataan air itu boleh diminum tetapi tidak sah dipakai untuk menyucikan sesuatu.

1) Yang dikatakan air Musta'amal pada mengangkatkan hadas ialah basuh kali yang pertama pada mandi atau wudhu' yang wajib dan sudah bercerai daripada anggota.

2) Yang dikatakan air Musta'amal pada menghilangkan najis iaitu jika air itu tidak berubah dan tidak bertambah.

3) Air daripada pokok-pokok dan air buah-buahan seperti daripada pucuk kelapa Yang dibuat nira atau akar-akar kayu.

Air yang berubah ada dua cara :-

1) Berubah dengan Taqdiri - Air yang berubah dengan Taqdiri iaitu air yang berubah hanya pada Taqdir sahaja yang tidak dapat dilihat akan perubahannya.

2) Berubah dengan Hissi - Air yang berubah pada Hissi iaitu berubah air itu dengan sesuatu yang dapat dilihat akan perubahannya.

- Cara mentaqdirkan hukum air yang bercampur dengan sesuatu yang sama rupanya dengan seperti air mawar yang telah hilang bau, rasa dan warnanya.

- pada bau hendaklah ditaqdirkan dengan bau kemenyan Arab.
- pada rasa hendaklah ditaqdirkan dengan rasa delima.
- pada warna hendaklah ditaqdirkan dengan warna anggur.

Jika berubah dengan taqdir ini maka hukumnya air musta'amal dan jika tidak berubah dengan taqdir ini maka hukumnya air mutlak.

- Air yang bercampur itu ada dua cara:-

1) Majawir

- Bercampur dengan cara Mujawir iaitu air yang berubah dengan sebab termasuk di dalamnya dengan sesuatu yang dapat dipisahkan daripada air, contohnya sebuah baldi yang penuh dengan air termasuk di dalamnya sebatang kayu cendana dan kayu itu boleh dipisahkan daripada air tersebut, maka hukum air itu ialah air mutlak. -

2) Mukhalit

- Bercampur dengan cara Mukhalit iaitu benda yang masuk ke dalam air itu tidak dapat dipisahkan daripada air, contohnya sebuah baldi yang penuh dengan air maka termasuk ke dalamnya nila maka dihukumnya air Musta'amal.

c) Air Musyammas:

Iaitu air yang suci lagi menyucikan tetapi makruh menggunakannya.
Air yang suci lagi menyucikan yang lain tetapi makruh digunakan pada tubuh badan tidak pada pakaian.

Air Musyammas bermaksud air yang panas yang terdedah kepada cahaya matahari iaitu pada negeri-negeri yang beriklim panas yang mana ia boleh mendatangkan karat seperti besi, tin dan lain-lain yang mana ia memberi mudharat apabila terkena kulit atau tubuih badan menyebabkan ianya sopak, kusta dan sebagainya. Sebagaimana Sabda Rasullah s.a.w. yang bermaksud: "Dari Aisyah sesungguhnya ia telah memanaskan air pada cahaya matahari maka telah bersabda Rasullah s.a.w kepadanya janganlah engkau berbuat demikian wahai Aisyah sesungguhnya air yang dijemur itu dapat menimbulkan penyakit sopak." (Riwayat Baihaqi)


d) Air Mutanajjis:

Air Mutanajis ialah air yang Bercampur dengan cara Mujawir iaitu air yang berubah dengan sebab termasuk di dalamnya dengan sesuatu yang dapat dipisahkan daripada air, contohnya sebuah baldi yang penuh dengan air termasuk di dalamnya sebatang kayu cendana dan kayu itu boleh dipisahkan daripada air tersebut, maka hukum air itu ialah air mutlak.
Terkena najis, sedangkan ia kurang dari dua kolah, atau air yang lebih daripada dua kolah tetapi terkena najis sehingga berubah warna, rasa atau baunya. Air ini tidak boleh digunakan untuk bersuci kerana ia tidak suci dan tidak mensucikan.

Ukuran air dua kolah itu ialah sebagai berikut :-
Kalau dikira dengan tin minyak tanah, maka air dua kolah itu adalah sebanyak 9 2/3 tin
Kalau dikira dengan timbangan, maka berat air dua kolah itu adalah seberat 162.72 kg.
Kalau dikira dengan ukuran tempat empat persegi, maka air dua kolah itu memerlukan tempat yang berukuran 60 x 60 cm.


Sumber :
http://jaipk.perak.gov.my/koleksi-solat/149-jenis-air

Friday, April 28, 2017

SOLAT JUMAAT


Solat Jumaat ialah solat fardu (dua rakaat) yang dilakukan pada hari Jumaat menggantikan solat Zohor, dan ianya dilakukan secara berjemaah selepas mendengar khutbah. Solat Jumaat itu hukumnya Fardhu Ain, iaitu wajib dikerjakan atas setiap mukallaf dengan syarat-syarat tertentu.

Firman Allah:

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah [dengan mengerjakan solat Jumaat] dan tinggalkanlah berjual beli [pada saat itu]; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui [hakikat yang sebenarnya]," - Al-Jumu'ah: 9

Sabda Rasulullah SAW:

"Solat Jumaat itu hak wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang Islam dengan berjemaah, kecuali empat jenis manusia: hamba sahaya yang dimiliki, perempuan, anak-anak, dan orang yang sakit." - Riwayat Abu Dawud & Hakim.

Syarat wajib solat Jumaat:


1. Islam - tidak wajib bagi orang kafir.
2. Baligh - tidak wajib bagi kanak-kanak yang belum baligh.
3. Berakal - tidak wajib bagi orang yang gila.
4. Merdeka - tidak wajib ke atas hamba abdi.
5. Lelaki - tidak diwajibkan untuk orang perempuan.
6. Sihat - tidak wajib bagi orang yang uzur dan berhalangan.
7. Bermastautin atau bermukim - tidak wajib bagi orang yang musafir.

Syarat sah solat Jumaat:


1. Didirikan di dalam waktu Zuhur.
2. Tempat mendirikan solat Jumaat itu hendaklah di suatu tempat yang telah ditetapkan seperti masjid, dewan, padang dan sebagainya.
3. Mestilah berjemaah dengan sekurang-kurangnya 40 orang yang tinggal tetap di kawasan itu.
4. Didahului dengan dua khutbah.

Rukun-rukun khutbah Jumaat:


1. Khutbah dimulai dengan memberi pujian pada Allah SWT seperti ucapan: "Allahamdulillah".
2. Diikuti dengan salawat ke atas Nabi Muhammad SAW: "Allahuma salli ala Saidina Muhammad waala ali Saidina Muhammad."
3. Khutbah hendaklah mengandungi pesanan kepada para jamaah agar bertaqwa kepada Allah SWT seperti: "bertaqwalah kamu kepada Allah."
4. Membaca satu ayat Quran pada khutbah yang pertama atau kedua, tapi paling elok pada khutbah yang pertama.
5. Mendoakan setiap Muslim pada khutbah yang kedua sekurang-kurangnya: "Rahima-kumullah."

Syarat sah Khutbah Jumaat:


1. Pembaca khutbah hendaklah seorang lelaki, tidak sah jika orang perempuan.
2. Pembaca khutbah hendaklah menutup aurat.
3. Suci daripada hadas dan najis pada pakaian, badan dan tempat.
4. Berdiri pada kedua-dua khutbah itu pada yang mampu.
5. Membaca khutbah setelah masuk waktu Zuhur dan dilakukan sebelum solat Jumaat.
6. Membaca rukun-rukun khutbah di dalam bahasa Arab, tidak boleh di baca dalam bahasa ibunda seperti membaca salawat Nabi dalam bahasa Melayu.
7. Mualat antara khutbah yang pertama dengan khutbah yang kedua, antara segala rukunnya dan antara khutbah dengan solat.
8. Duduk sebentar setelah selesai khutbah pertama sebelum memulakan khutbah kedua. Jikalau pembaca berkhutbah dalam keadaan duduk, maka pisahkan di antara dua khutbah itu dengan diam sebentar.
9. Khutbah didengar oleh 40 orang yang bermukim sekalipun tidak memahami bahasa yang digunakan untuk menyampaikan khutbah.
10. Mencukupi bilangan 40 orang dari mula khutbah hingga akhir solat.

Seorang Muslim yang mengalami salah satu perkara di bawah ini adalah dikecualikan dari menunaikan solat Jumaat, mereka hanya perlu solat Zohor seperti biasa:

1. Sakit - Iaitu sakit yang menyukarkan untuk ke masjid atau bimbang akan memudaratan penyakitnya.
2. Hujan - Jika hujan itu membawa kesukaran untuk pergi ke masjid.
3. Musafir - Iaitu orang yang keluar sebelum subuh untuk bermusafir.
4. Takut dizalimi - Orang yang bersembunyi kerana takut di zalimi.

Perkara-perkara sunat yang dilakukan pada hari Jumaat:


1. Mandi sunat hari Jumaat, terutama ketika hendak berangkat ke Masjid.
2. Memotong kuku.
3. Memotong, mencabut atau mengunting bulu [ketiak, hidung, misai].
4. Bersugi.
5. Memakai wangi-wangian.
6. Berhias diri dengan memakai pakaian yang bersih dan cantik.
7. Bersegera pergi ke masjid.
8. Berniat iktikaf.
9. Solat Tahiyatul Masjid sebaik sahaja masuk ke dalam masjid.
10. Memperbanyakkan berzikir, membaca Al Quran dan bersalawat atas Nabi.

Sumber Link :
http://jaipk.perak.gov.my/koleksi-solat/151-solat-jumaat

Friday, December 30, 2016

DAHSYATNYA DOSA RIBA




Tidak dinafikan, sudah diketahui umum, syirik adalah dosa terbesar di dalam Islam. Ia disebutkan dengan jelas dari ayat

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَن يَشَاء


Ertinya : Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan barangsiapa yang mensyirikkannya, dan (Allah) akan boleh mengampunkan dosa-dosa yang lebih rendah dari syirik."


Namun, setelah memikirkan berkali-kali baris-baris ayat di bawah, saya tidak boleh menunggu lagi kecuali mesti dengan segera mengebahkannya kepada sekalian umat berkenaan betapa dahsyatnya hukuman bagi kesalahan ini.


الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لاَ يَقُومُونَ إِلاَّ كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُواْ إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا وَأَحَلَّ اللّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا فَمَن جَاءهُ مَوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّهِ فَانتَهَىَ فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللّهِ وَمَنْ عَادَ فَأُوْلَـئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ


Ertinya : Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan setan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya. ( Al-Baqarah : 275 )


Itulah kengerian hukuman Allah swt terhadap satu dosa selain syirik. Itulah pengamal riba setelah pengharamannya. Cuba kita sama-sama petikan penutup ayat di atas


وَمَنْ عَادَ فَأُوْلَـئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Ertinya : Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya


Imam Ibn Kathir ketika mentafsirkan lafaz ini menyebut :-

ومن عاد أي إلى الربا ففعله بعد بلوغه نهى الله عنه فقد استوجب العقوبة


Ertinya : Lafaz "barangsiapa mengulangi" ertinya kembali terlibat dengan riba hingga terjebak dalamnya walalupun setelah datangnya hukum larangan Allah darinya, hasilnya wajiblah bagi mereka hukuman keras" (Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, 1/328)

Berdasarkan dalil-dalil hadis, para ulama membuat kesimpulan bahawa setiap umat Islam yang mengucap dua kalimah shahadah, sebanyak manapun dosa yang dilakukan di atas dunia, mereka akan dihumbankan ke dalam neraka, terkurung didalamnya untuk satu tempoh yang layak bagi dosa mereka, kemudian mereka akan dikeluarkan darinya dengan syafaat Nabi Muhammad s.a.w dalam keadaan mati, kemudian ditempatkan di dalam sungai kehidupan, lalu hiduplah kembali. Semua ini dicatatkan dalam hadis. (Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 3/36 )


RIBA DAN HUKUMANNYA


Riba adalah ‘ziyadah’ atau ‘increment’ atau ‘excess’ pada perkara tertentu lebih menjurus kepada suatu bentuk lebih yang tidak halal (illegal excess) yang berlaku pada sesuatu jensi kontrak :-

1) Bayaran Pinjaman Yang Bertambah

Cth: Beri RM1000, minta bayar balik dalam RM1100, maka RM100 adalah riba samada rasa tertindas atau tidak rasa tertindas

Contoh paling popular zaman ini adalah pinjaman wang dengan bank konvensional untuk membeli rumah, pinjaman peribadi, pinjaman modal atau juga pinjaman kereta iaitu pinjaman sebanyak RM100K, 10 % bayar deposit dan 90% lagi dari ‘loan’ bank konvensional. Bank kovensional beri pinjam RM100k yang perlu dibayar dalam jangkamasa 5 tahun dengan pertambahan interest iaitu 4%. Maka 4% itu adalah RIBA. Ada yang menggunakan hujah inflasi bagi menerima interest 4% dengan mengatakan harga RM1 pada tahun 2000 adalah berlainan dengan harga RM1 dalam tahun 2012. 

HUJAH INFLASI TIDAK DITERIMA DI DALAM ISLAM untuk menghalalkan perbezaan atas nama interest.


2) Penalti Tambahan Akibat Lewat Bayar


Cth: Perlu bayar RM2000 dalam masa 5 bulan, si penghutang tidak membayar dalam jangkamasa tersebut, lalu si penghutang beri tangguh dengan dikenakan syarat dari RM2000 menjadi RM2050 kerana kelewatan membayar. RM50 itu adalah riba

3) Riba dalam pertukaran barang dengan barang


Ini dinamakan sebagai barangan ribawi, terdapat 6 jenis barang yang disebut oleh baginda Nabi saw iaitu Emas, perak, gandum, barli, Kurma dan Garam. Ulama bersetuju bahawa emas dan Perak mewakili matawnag yang punyai nilai yang diiktiraf, manakala emapt lagi item adalah barang makanan ruji yang tahan disimpan.


Cth: Tukar emas lama iaitu 2g dengan emas baru 3g. Jika ada pertambahan/pengurangan maka ia adalah riba.


riba jadual


Imam An-Nawawi berkata : “Telah Ijma’ seluruh ulama Islam tentang pengharaman Riba dan ianya termasuk dalam kategori dosa besar, dan dikatakan juga Riba diharamkan oleh semua agama , antara yang berpendapat demikian adalah Imam Al-Mawardi” (Rujuk Al-Majmu’, 9/391 )

Adalah menjadi fenomena yang amat malang bagi umat Islam, apaibila mereka amat leka dan tidak ambil endah tentang besarnya dosa Riba. Justeru di sini, saya sertakan beberapa nas al-Quran dan al-Hadith yang menerangkan perihal besarnya dosa riba.

1. Pemakan dan Pemberi Riba Perangi Allah SWT dan Rasulullah SAW.


Firman Allah SWT :

Ertinya : “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki Riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidal meninggalkannya, istisharkanlah perang dengan Allah dan RasulNya” (Al-Baqarah : 278 )


Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa yang enggan dan masih berdegil untuk meninggalkan saki baki riba dalam kehidupannya dengan sengaja, maka ia akan berada dalam posisi peperangan dengan Allah SWT dan RasulNya.

Zahir ayat ini juga membayangkan peperangan itu juga berlaku sejak di dunia lagi, amat malanglah bagi seseorang dan pemimpin yang kurang mengambil endah akan hal ini.

Ibn Abbas r.a di riwayatkan berkata :

Ertinya : “Akan dikatakan kepada pemakan riba di hari kiamat : ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah SWT” ( Jami al-Bayan ‘An Takwil Ayyi Al-Quran, At-Tabari, 3/68 ; Ad-Durru Al-Manthur, As-Suyuti, 3/366)

Berkatalah Abu Hanifah rh pula : “ Inilah ayat di dalam Al-Quran yang paling menakutkan” (Rujuk At-Tabari, Hamisyh An-Naisaburi, 4/73)

Imam Malik Bin Anas rh pula berkata :

Ertinya : “Telah ku membuka lembaran-lembaran Kitab Allah dan Sunnah Nabi SAW dan tidak ku dapati (dosa) yang lebih buruk dari Riba, kerana Allah SWT dalam mengistiharkan atau mengizinkan perang ke

2. Kehilangan Berkat Harta dan Kehidupan.


Allah SWT berfirman :

Ertinya : “Allah menghancurkan keberkatan kerana Riba dan menambahkan keberkatan dari sedeqah” ( Al-Baqarah : 276 )


Kehilangan berkat itu akan berlaku di dunia dan di akhirat:-

• Di Dunia : Bentuk-bentuk kehilangan berkat harta orang terlibat dengan riba adalah dengan mudah hilang dan habisnya harta dari pemilik dalam bentuk yang tidak berfaedah, sehinggalah ia akan merasa miskin dan faqir (walaupun ia mempunyai wang yang banyak), antaranya juga harta tadi akan menjadi sebab ringanya pemilik untuk melakukan maksiat, kefasikan, dan menghinakan diri di sisi Allah SWT, hilanglah sifat amanah, cenderung kepada rasuah, penipuan, dan tamak haloba. Ia juga bakal di timpa ujian harat yang banyak, seperti di rompak, curi, khianat, dan doa orang yang terkena zalim darinya juga lebih maqbul ( Az-Zawajir ‘an ‘iqtiraf al-Kabair, Ibn Hajar al-Haithami, Dar al-Ma’rifat, Beirut, 1982 , 1/224) . Sabda Nabi SAW dari Ibn Mas’ud r.a :-

Ertinya : “Sesungguhnya Riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa” ( Riwayat Ahmad, no 3754 , 1/395 ; Al-Hakim mengatakannya sohih, Ibn Hajar mengatakan sanadnya hasan ( Fath al-Bari, 4/399 )

• Di Akhirat : Berkatalah Ibn Abbas r.a :

Ertinya : “Tidak diterima dari pemakan riba ( yang menggunakan harta riba tadi) sedeqahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya” ( Al-Jami’ li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 3/362 ; Az-Zawajir ‘An ‘Iqtiraf al-Kabair , ibid, 1/224)

3. Seperti Berzina Dengan Ibu Bapa Sendiri


Nabi SAW bersabda :

Ertinya : “ Riba mempunyai 73 pintu, Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.. ”(Ibn Majah, 2/764 ; Al-Hakim, 2/37 Al-hakim: Sohih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim)

4. Lebih Berat dari 36 Kali Zina.


Nabi SAW bersabda :

Ertinya : “Satu dirham Riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk dari berzina sebanyak 36 kali” ( Musnad Ahmad , 2/225 ; Ad-Dar Qutni, hlm 295 ; Albani mengatakan sohih dalam Ghayatul Maram fi Takhrij Hadith Al-Halal wal Haram lil Qaradhawi, hlm 103 )


5. Salah satu dari Tujuh Dosa Terbesar


Ia berdasarkan hadith nabi SAW :

Ertinya : “Jauhilah tujuh dosa besar, Syirik, Sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina ( tanpa saksi adil) “ ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

REDHA DALAM RIBA YANG MURAH BOLEH TAK?


"Mengapa redha dalam hal riba tidak terpakai?" Berkerut dahi student saya ketika bertanya di luar kelas di sebuah IPTA.


Saya membalas :

"Kerana riba adalah satu bentuk dosa yang tergolong dalam HAK ALLAH semata-mata, justeru manusia wajib menurutinya tanpa boleh memindanya dengan redha dan rela hati mereka."

"Sama seperti zina.!, adakah zina menjadi halal apabila kedua-dua pasangan redha dan rela..Tidak sama sekali, demikian juga halnya membuka aurat, ia Hak Allah dan ujian yang Allah berikan kepada manusia, bagi menilai siapa yang taat dan siapa yang derhaka" jawab saya.


SEDARKAH ?!



Namun sedarkah kita dan mereka di sekeliling kita, keluarga, rakan dan lainnya bahawa, berterusan dalam dosa riba boleh menyebabkan seseorang itu dianggap menghalalkan riba setelah pengharamannya lalu jatuh kafir mereka itu, tatkala itu matinya mereka adalah dengan hati kekafiran hingga terkeluar dari senarai mereka yang boleh mendapat syafaat nabi Muhammad s.a.w.


Berhati-hatilah dan amat wajib bagi semua muslim yang meyakini ada maut untuk menjauhi riba. Kita amat bimbang, ketidakpedulian itu adalah merupakan satu keingkaran terhadap hukum haramnya. Seterusnya boleh mejatuhkan seseorang dalam kekafiran tanpa sedar hingga melayakkan seseorang itu kekal di neraka. Nabi juga tidak mempunyai peruntukan untuk memberi bantuan (syafaat) kepada golongan sebegitu.

Moga kita semua dipelihara oleh Allah swt.

Inilah yang diulas oleh Imam Fakhruddin Ar-razi apabila beliau menghurauikan maksud ‘orang yang kembali' dalam ayat di atas sebagai :-

فالمعنى ومن عاد إلى استحلال الربا حتى يصير كافراً


Ertinya : erti ayat "barangsiapa yang kembali" (di atas, adalah bermakna mereka kembali menghalalkan riba sehingga mereka itu jadi kafir. ( Tafsir Al-Kabir, 7/82)


Akhirnya, alasan sibuk, malas, belum sampai seru, nanti dan pelbagai pagi alasan orang di zaman ini dari berubah dari pinjaman rumah riba, kereta riba, kad kredit riba, akaun simpanan riba, insuran riba, skim riba, pelaburan riba, mahal sikit, leceh proses, belum ada masa dan pelbagai lagi TIDAK WAJAR SAMA SEKALI wujud dalam hati individu yang bernama MUKMIN MUSLIM.


Sekian

Oleh :
Dr Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

Sunday, November 27, 2016

7 alasan KUKUH untuk anda pertimbangkan untuk mula menulis surat resign anda sendiri.

Assalammualaikum....

Akhir-akhir ini, saya selalu mengikuti perkembangan ruangan mencari kerja dan mendengar cerita rakan-rakan yang sudah mula berhenti kerja, sama ada mencari kerja baru ataupun bekerja sendiri. Tahniah diucapkan untuk permulaan hidup baru. 

Di tempat kerja saya sendiri pun hampir setiap bulan ada sahaja yang berhenti kerja untuk plan hidup seterusnya. 

Itulah kehidupan bekerjaya, ada yang datang dan pergi. Masing-masing punya perancangan yang teliti dengan hidup mereka, jangan dipersalahkan atau dipandang serong.
Fenomena kini pun sangat membimbangkan majikan-majikan di Malaysia apabila fenomena graduan universiti yang semakin kurang mencari kerja tetapi semakin ramai pula pekerja mahirnya mula berhenti kerja!

Satu realiti kebangkitan bangsa Melayu dalam memperkukuhkan ekonomi dengan mula bekerja sendiri atau menggunakan kemahiran tersebut pada bidang yang selayaknya.
Mari kita tengok 7 alasan KUKUH untuk anda pertimbangkan untuk mula menulis surat resign anda sendiri.

1- Anda mula tidak suka hari Isnin.


Berasa sedih apabila weekend berakhir dan Isnin datang kembali itu perkara biasa. 

Tapi jika anda membayangkan masuk pejabat, bekerja, bertemu majikan, rakan kerja dan semua yang terjadi  pada hari Isnin menyebabkan anda muak dan tertekan, itu parah!


Maksudnya jika boleh, tentu anda tak ada 'hati' nak berada di sana. Mungkin anda hanya bertahan hanya demi sebuah pekerjaan? 

Tapi untuk apa menyeksa diri dan menghabiskan hidup di tempat yang anda kurang minat melaburkan hari anda di sana sedangkan orang lain dapat menikmati pekerjaan mereka?

2- Passionate anda semakin berkurangan.


Pekerjaan yang ideal adalah apabila kita dapat melakukan apa yang kita sukai. Walaupun tak semua orang seberuntung itu, tapi jika kita berjaya mencintai kerjaya sedia ada, maka segala aktiviti di pejabat tak akan terasa berat. 

Bahkan walaupun pekerjaan itu berat dan melelahkan, anda masih juga selesa di pejabat. Namun jika anda mulai rasa terpaksa dan mungkin juga benci dalam menyelesaikan tugas hingga mencari alasan untuk tak datang kerja, untuk apa diteruskan lagi?

Sangat baik jika anda dapat pupuk sifat suka dalam pekerjaan anda setelah anda graduate dari IPT tetapi jangan lama-lama. Selepas 2-3 tahun, mulalah cari kerjaya yang anda sukai. Bila anda sukai kerja anda, passion anda juga tinggi!

3- Masalah pengurusan atau kewangan syarikat


Jika pengurusan sesbuah syarikat penuh dengan birokrasi dan politik pejabat di samping permasalahan kewangan syarikat yang tidak kukuh, adalah sewajarnya anda perlu cepat-cepat menulis surat berhenti kerja.

Walaupun diakui ada sesetengah syarikat yang berjaya mendapatkan kepercayaan pekerjanya hingga ada yang sanggup bekerja dengan gaji yang tidak menentu, tetapi harus tunggu hingga bila jika pengurusan syarikat tidak berusaha untuk menyelamatkan syarikatnya?!


Malahan, akhir-akhir ini banyak sekali syarikat yang dilaporkan media tidak menjaga kebajikan para pekerja mereka, malahan ada juga yang sengaja tidak sensitif dengan beban kenaikan taraf hidup para pekerjanya, maka tunggu apa lagi, carilah pekerjaan lain yang lebih terjamin, baik dari segi kerjaya ataupun kewangan.

Tidak ada untungnya biarkan diri anda ‘diperah’, dibuli dan dipergunakan oleh majikan. Bukan RM yang dikejar tetapi kebajikan yang diharapkan!

4- Stress yang keterlaluan


Tekanan kerjaya adalah perkara biasa yang dialami oleh semua orang. Betulkan?! 

Apabila akhir-akhir ini anda sering mengalami stress hingga mengalami kemurungan (depression), itu tandanya anda sudah bosan dengan pekerjaan yang dilakukan. 

Hanya ada 2 pilihan sahaja, bercuti pendek (melancong) atau bercuti panjang (berhenti), anda pilih mana yang sesuai dengan diri anda.

Ramai yang memandang ringan kesan stress ini walaupun mereka tahu ia sangat berbahaya hingga dikategorikan sebagai punca hampir kebanyakan penyakit kronik di dunia. 

Stress mampu mengganggu kesihatan anda. Insomnia, nafsu makan bertambah atau semakin menurun, cepat emosi dan daya tahan tubuh terhadap penyakit pun menurun. 

Jangan biarkan ini terus terjadi karena kesannya sangat besar pada kesihatan dan kehidupan sosial anda. 

Bangkitlah dan cari pekerjaan baru yang sesuai dengan keinginan anda!

5- Hidup mati dengan kerja


Ini golongan workaholic yang hidup matinya hanya semata-mata untuk siapkan kerja. 

Pekerja yang cemerlang adalah pekerja yang tahu menyeimbangkan antara hidup dan kerjaya. 

Kerjaya yang hebat tidak menentukan kebahagiaan anda. Tapi kerjaya yang berkat pasti membahagiakan anda!


Nak kerjaya berkat selang-selilah dengan amalan kerohanian yang diajar oleh agama, jalinkan persahabatan, bentukkan konsep kekeluargaan di pejabat dan di rumah dan berikan hak yang sepatutnya kepada setiap manusia di sekeliling kita.

Kan Nabi SAW sudah lama bersabda,"Dan bagi setiap sesuatu itu ada haknya. Maka berilah hak tersebut kepada yang berhak menerimanya". 

Hadis ini adalah teguran kepada seorang 3 orang sahabat yang ingin berterusan beribadat kepada Allah hingga tanpa sedar telah mengabaikan hak orang lain dalam hidup mereka.

6- Merasa diri dipergunakan dan tidak dihargai.


Malangnya kita jika mendapat kerja seperti ini. Sudahlah dipergunakan untuk membuat 40 kerja dalam satu posisi jawatan yang lain, malahan anda juga tidak dihargai. 

Jika setelah bertahun-tahun kerja tetapi masih dipinggirkan untuk dinaikkan pangkat walaupun segala macam jenis kerja telah anda lakukan, maka mungkin masanya untuk anda sudah tidak membazirkan masa di sana.

Pergilah ke tempat lain yang lebih menghargai anda dan kelulusan atau kemahiran yang anda ada. Jangan menyesal untuk memperoleh sesuatu yang lebih baik. 

Walaupun anda membawa diri ke tempat lain dengan 'tersentap' hati tapi buktikan semula bahawa bekas majikan akan akan tersentap juga setelah ketiadaan anda.


Lihat juga potensi pengembangan karier anda di pejabat tersebut. Jika kursus pun diadakan setahun sekali dengan alasan bajet tak mencukupi, nampak sangatlah bahawa itu bukan tujuan utama syarikat anda dalam menjadikan anda pekerja mahir dalam bidang tersebut.

Mungkin juga syarikat tidak ingin anda keluar dari kepompong mereka kerana ketiadaan kemahiran, pengalaman dan potensi yang diperlukan oleh industri ketika itu adalah sangat menyulitkan untuk anda berpindah kerja di tempat lain.
Jangan buang masa anda dan pergilah tempat yang boleh memberikan anda peluang-peluang tersebut sebelum umur anda menginjak ke usia 'tidak diterima bekerja'!

7. Suka merungut tentang kerja anda.


Saya sering berjumpa dengan rakan-rakan yang tidak gembira dengan kerjaya yang disandang sekarang. Hampir setiap kali berjumpa, asyik merungut jer. 

Di mana-mana je pasti cerita tentang masalah pejabat, maka penyakit 'trauma' pekerjaan ini hanya boleh dihilangkan dengan pekerjaan baru.

Kebanyakan yang merungut adalah tentang lambakan kerja dengan hasil gaji yang tidak lumayan atau bersesuaian dengan pekerjaan. 

Adalah sangat zalim jika majikan terus memberi gaji kepada para pekerja mengikut kelulusan mereka sedangkan dunia Barat telah lama membayar gaji mengikut prestasi kerja yang ditunjukkan oleh pekerja mereka.


Inilah yang disebut oleh Muhammad Abduh,"Aku menjumpai Islam ketika aku di negara bukan Islam dan tidak aku temui Islam di dalam negara Islam".

Itulah yang diajar oleh Islam, beri upah berdasarkan prestasi kerja bukan semata-mata kelulusan. Hatta Nabi SAW bersabda,"Berilah upah kepada pekerjamu sebelum kering air peluhnya". 

Hadis yang ditafsirkan oleh para ulama tentang aras ketetapan gaji berdasarkan prestasi kerja dan tempoh pembayaran gaji yang jelas untuk panduan kita di akhir zaman ini.

Anda ada tak ciri-ciri ni? 

Kalau ada, bersiaplah untuk meninggalkan kerjaya anda sekarang dan pilihlah untuk bekerja dengan ikhlas dan diberkati, dihargai dan dirahmati. Hidup adalah PILIHAN. Pilihlah yang terbaik untuk kehidupan anda!


Nukilan : http://wafiqulya.blogspot.my

Wednesday, August 3, 2016

Aurat Wanita : Apa Sudah Jadi ?

Aurat Wanita : Apa Sudah Jadi ?


KoLeksi Ceramah AgaMa: Ceramah Ustaz Kazim

KoLeksi Ceramah AgaMa: Ceramah Ustaz Kazim: Ustaz Kazim Elias - Wanita Perhiasan Untuk Lelaki [Jun 2016] http://www.mediafire.com/download/w33ceh94iqbbiiv Kredit: Abu Khadijah ...