SOLAT Tahajud ialah ibadah yang kita lakukan pada malam hari, biasanya
tengah malam atau lewat tengah malam. Solat tahajud juga dikenali juga sebagai
shalatulail. Solat ini sangat baik dilakukan terutama kepada para pemimpin
Islam kerana Rasulullah S.A.W dan para sahabat r.a tidak meninggalkan solat ini
sepanjang hayat mereka, sebagai ibadah tambahan.
Dalam Al-Quran terdapat banyak
ayat-ayat yang menggalakkan umat Islam mengerjakan solat tahajud sebagai ibadah
tambahan pada waktu malam begitu juga terdapat beberapa hadis Nabi S.A.W.
mengenai perkara ini.
1) TIDUR DAN SOLAT TAHAJUD
Umumnya manusia mengatakan tidur
malam perlu antara enam hingga lapan jam sehari. Tetapi pendapat ini ditolak
oleh para saintis Barat seperti Dr Ray Meddis, seorang profesor di Department
of Human Sciences, England University of Technology yang mengatakan bahawa
manusia sebenarnya perlu tidur malam selama tiga jam sahaja.
Waktu tidur boleh dibahagi kepada
dua bahagian - tidur ayam dan tidur lelap. Mimpi biasanya berlaku dalam tidur
lelap (deep sleep). Manusia perlu berlatih untuk dapat tidur lelap kerana tidur
ayam adalah masa berangan-angan yang membuang waktu sahaja. Tidur yang
sebenarnya ialah ketika tidur lelap yang mengikut kajian saintis Barat ialah
selama tiga jam. Kita merasakan bahawa tidur malam kita selalu tidak cukup. Ini
kerana kita tidak terlatih atau mengikut peraturan yang perlu diikuti ketika
tidur. Apabila seseorang atlit hendak memasuki suatu pertandingan lumba lari
dia akan berlatih hampir setahun sebelum perlumbaan itu bermula. Dengan
demikian dia ada harapan untuk memungut pingat emas. Demikian jugalah kita
mesti melatih diri kita tidur mengikut peraturan.
Mengikut kajian ahli perubatan
Barat, Sebelum kita merasa hendak tidur, mula-mula sekali kita akan merasa
mengantuk (drowsiness) di mana suhu badan kita akan menurun. Dengan mengatur
waktu tidur dan menggunakan jangkasuhu kita boleh latihkan diri kita untuk
tidur bila perlu. Tidur yang diatur boleh menjimatkan masa kita dan membolehkan
kita melakukan ibadah dan kerja-kerja lain.
2) Rasulullah S.A.W. telah
memberikan contoh yang baik untuk tidur lengkap dengan doa-doanya.Bolehlah kita
ringkaskan latihan untuk tidur malam seperti :
1. Makan malam yang sedikit
sekadar alas perut supaya tidak lapar. Jika kita makan malam yang banyak ianya
akan menyebabkan kita cepat mengantuk dan susah bangun dari tidur, sudah tentu
kita akan terlebih tidur pula.
2. Tunaikan solat Isyak sebelum
tidur.
3. Bersihkan tempat tidur seperti
tilam, bantal dan cadar dari habuk dan lain-lain kotoran.
4. Amalkan doa-doa sebelum dan
sesudah tidur seperti yang diajarkan Rasulullah S.A.W.
5. Kurangkan masa tidur dari
lapan jam sehari kepada tujuh jam sehari untuk bulan pertama latihan; pada
bulan kedua kurangkan masa tidur malam kepada enam jam sehari, seterusnya pada
bulan ketiga kepada lima jam sehingga kita boleh tidur untuk masa tiga/empat
jam sahaja.
Cara untuk kita tidur dan bangun
juga mempunyai peraturan yang perlu diikuti untuk menjaga kesihatan dan
mengelakkan diri dari dihidapi pelbagai penyakit. Umpamanya kita yang suka
bangun tidur melompat dari tidurnya boleh menghadapi risiko sakit jantung yang
boleh membawa maut. Demikian menurut pendapat seorang doktor dari China - Dr
Huang Guoxiong dari Kolej Perubatan Lioning.
Di dalam Al-Quran ada menyebut
segolongan manusia yang masuk syurga kerana ibadah malamnya dan kurang tidur
malam. Firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang
yang bertaqwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil
mengambil apa yang diberi oleh Tuhn mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di
dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di
waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah.” (
Surah az-Zariat ayat 15-18 )
3) IBADAH TENGAH MALAM DAN AWAL
PAGI DALAM AGAMA LAIN
Penulis pernah bertukar-tukar
pendapat dengan guru-guru dan ketua agama yang bukan Islam seperti Buddha,
Kristian, Tao, Confucious dan Sikh. Dalam perhatian penulis, mereka juga
mengadakan amalan pada tengah malam seperti ‘berzikir’ dan membaca kitab suci
agama mereka. Untuk mengelak dari rasa mengantuk, mereka berlatih tidur hanya
lebih kurang tiga jam atau empat jam sehari malah ada yang kurang dari itu.
Antara agama yang dimaksudkan itu ialah agama Buddha, Kristian, Tao, Confusius
dan Sikh.
4) PENDAPAT AHLI SASTERA BARAT
Terdapat juga ahli sastera barat
yang menceritakan mengenai kelebihan mengurangkan tidur untuk mencapai kerjaya
yang cemerlang.
Bila ditanya apakah rahsia
kejayaan mereka, mereka menjawab : “The woods are lovely, dark and deep but I
have promises to keep and miles to go before I sleep.”
Maksudnya “Taman itu indah, gelap
dan tebal tetapi saya mempunyai temujanji yang mesti ditunaikan dahulu sebelum
saya tidur.”
“The heights by great men reached
and kept were not attained by sudden fight. But while their companions sleep
were toiling upwards in the night.” - Longfellow
Maksudnya “Pencapaian kerjaya
yang tinggi oleh orang-orang ternama tidak didapati serta merta tetapi mereka
bekerja keras sehingga larut malam pada waktu sahabat-sahabat mereka sedang
nyenyak tidur.”
Ini jelas menunjukkan mereka
meminimakan waktu tidur untuk mencapai kejayaan dalam hidup mereka.
5) Sekarang kita kembali kepada
perbincangan solat tahajud. Apakah kebaikan dan kelebihan yang kita perolehi
dari mengerjakan solat tahajud sedangkan ketika itulah manusia sedang nyenyak
tidur.
Dari segi fikiran logik, kita
tidak akan faham bahawa suruhan Allah itu mendatangkan kebaikan. Solat tahajud
meneguhkan iman kita, jiwa kita, mental kita untuk menghadapi masalah hidup
duniawi dan lain-lain lagi yang Allah Maha Mengetahui.
Dari segi sains perubatan pula, kita
akan menyedut oksigen khusus yang wujud di atmosfera bumi antara lebih kurang
jam tiga pagi hingga terbit matahari dan menggerakkan otot-otot di dalam badan
kita ke arah menyegarkan badan dan melicinkan gerak saliran darah. Kedua-dua
oksigen dan gerak otot itu sangat penting dalam memastikan kesihatan tubuh
badan manusia. Oksigen itu hilang dari atmosfera bumi selepas matahari terbit
dan tidak datang lagi sehingga esok pagi. Hanya manusia yang bangun pada waktu
ini dapat menikmati oksigen tersebut. Mereka yang bangun tidur lewat tidak
merasai nikmat oksigen segar ini.
6) RAHSIA PERGERAKAN OTOT DALAM
SOLAT
Cuba kita kaji pergerakan
otot-otot kita ketika solat.
Secara kasar, pada mula kita
berdiri tegak ( qiyam ) kemudian angkat kedua tangan bertakbir dan letakkan
tangan di atas pusat - kita telah membesarkan rongga dada kita manakala
paru-paru akan terasa luas serta menggerakkan otot di kedua belah tangan.
Ketika ruku’ dengan badan
membongkok ke depan dan kedua tangan di atas kepala lutut dan punggung mendatar
( parallel to the ground ) sekaligus ianya menggerakkan ruas-ruas tulang
punggung, tulang leher, tulang pinggang dan tulang tungkin.
Waktu sujud pula, seluruh berat
badan terpikul sepenuhnya di atas otot-otot kedua-dua tangan, kaki. dada,
perut, punggung, leher dan otot-otot kaki. Lihat sahaja pada waktu sujud ini
berapa banyak otot dan persendian yang kita gerakkan.
Setelah itu kita bangkit dari
sujud. Kita duduk, kemudian kita sujud lagi dan selepas itu kita berdiri
kembali. Dalam gerak badan kali ini kita telah secara automatik menggerakkan
sejumlah besar otot-otot di dada , bahu, lengan, perut, punggung, peha, kaki
bahagian bawah an lain-lain otot lagi.
Selain dari itu kita juga
melakukan dua macam duduk - pertama duduk antara dua sujud dan kedua duduk
tahiyat. Kedua-dua jenis duduk ini menggerakkan tumit , pangkal peha,
kelengkang, jari-jari kaki dan lain-lain. Dalam kita memberi salam juga kita
gerakkan otot-otot leher tengkuk dan lain-lain.
Kalau kita lihat dari dua perkara
tersebut di atas iaitu mendapatkan oksigen yang istimewa dan gerak otot-otot
yang semuanya ini sudah tentu akan memastikan kesihatan tubuh badan kita.
Solat tahajud juga boleh
menjauhkan penyakit buah pinggang yang selalu menyerang orang yang banyak tidur
dan bangun lewat dari tidur malam.
p/s:Selamat Tidur wahai
saudara/saudari sekalian pengunjung alam maya.Cuba amalkan apa yang saya
jelaskan pada NOTA ini dan cuba praktikkan diri saudara/saudari SEDIKIT DEMI
SEDIKIT,LAMA KELAMAAN AKAN BERHASIL.Moga hari esok masih ada lagi peluang untuk
kita diberi nikmat bernafas setiap detik.SALAM PERINGATAN.Jangan pula ada di
kalangan anda yang sanggup bersengkang mata semata-mata hendak meluangkan masa
di alam maya ini terlalu lama kerana kita sudah tiada masa,PERSIAPKAN BEKALAN
AKHIRAT MU ITU,wahai saudara/saudari sekalian....Jadikan malam ini dan
malam-malam seterusnya dihiasi dengan mutiara Ibadat anda semua...
Nukilan : Alinoor