AL-QURAN 1

Sunday, March 9, 2014

ILMU ITU BERTAMBAH DAN BERKURANG



Sekurang-kurangnya Iman itu ialah tasdiq jazim yang tidak ada syak
dan syubahat. Kalau sekiranya tidak sedemikian maka tidak ada iman,
kerana Allah s.w.t. berfirman:

Maksudnya:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang
beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu." 
(Surah Al Hujurat: Ayat 15)

Jika sekiranya terdapat syak maka ini bermakna nifaq.


Firman Allah s.w.t.: Maksudnya:

"Di dalam hati mereka ada penyakit." 
 (Surah Al-Baqarah: Ayat 10)

Berhubung dengan 'Penyakit' ada 'Ulama' mentafsirkannya dengan makna
syak.

Perlu diterangkan bahawa syak itu bukannya was-was dan was-was tidak
boleh dianggap syak kerana ianya dibawa oleh syaitan dan hati kita
menolaknya, seperti seseorang yang diajak menjadi kafir atau dituduh
menjadi kafir sedangkan dia tidak menerima kekufuran itu.

Firman Allah s.w.t.: Maksudnya:

"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa bila mereka ditimpa was-was
dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka
melihat kesalahannya." 
(Surah Al A'araf: Ayat 201)

Di dalam satu riwayat, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Segala puji
bagi Allah yang menolak tipu daya syaitan menjadi was-was."

Di kalangan Ulama' ada yang berpendapat bahawa iman itu tidak
bertambah dan tidak berkurang, ianya dipandang sebagai aqidah yang tidak boleh dibelah bahagi.

Menurut pendapat Salaf bahkan pendapat Jumhurul Ulama' bahawa, iman
yang disertakan dengan amal yang soleh itu bertambah dan berkurang kerana ada Nas-nas yang terang menyatakan demikian.

Firman Allah s.w.t.: Maksudnya:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila
disebut "Allah" gementarlah hati mereka dan apabila dibaca kepada
mereka ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka." 
(Surah Al Anfal: Ayat2)

"Adapun orang-orang yang beriman maka surah ini menambah imannya."
(Surah At Taubah: Ayat 124)

"Dan tatkala orang-orang mukmin melihat tentera-tentera Ahzab, mereka
berkata, "Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita".
Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan demikian itu tidaklah menambahkepada mereka kecuali iman dan penyerahan."
(Surah Al - Ahzab:Ayat 22) 

Semoga Bermanafaat
Wallahu'alam....

Ikhlas



Ikhlas ialah meniatkan apa yang dibuat atau yang ditinggalkan hanya semata mata kerana Allah Taala.Ertinya apa sahaja perintah Allah Taala samaada yang fardhu ataupun sunat mestilah diniatkan semata mata kerana Allah Taala.Dan apa sahaja yang ditinggalkan sama ada haram ataupun makruh juga mestilah diniatkan semata mata kerana Allah Taala. 
"Sekiranya amalan itu tidak diniatkan kerana Allah Taala ,amalan itu dikira tidak ikhlas."
Sesuatu amalan yang tidak ikhlas adalah tertolak,tidak diberikan pahala dan sia sia.

Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Adakalanya para Malaikat membawa amal seorang hamba dan mereka anggap banyak dan  mereka menyanjungnya sehingga sampai kehadrat Allah, maka Allah berfirman kepada mereka: Kamu hanya mencatat amal hambaku, sedang Aku mengawasi isi dan niat hatinya, hambaku  tidak ikhlas kepadaKu dan amalnya, maka catatlah dalam sijjin, dan ada kalanya membawa naik amal hamba lalu mereka menganggap sedikit dan kecil sehingga sampai kehadapan Allah, maka  Allah berfirman kepada para Malaikat: Kamu mencatat amal perbuatan hambaKu dan Aku mengawasi isi hati dan niatnya, orang ini benar-benar ikhlas dalam amal perbuatannya kepadaKu, catatlah amalnya itu dalam illiyin."
              
Dengan ini nyatalah bahawa amal yang sedikit dengan ikhlas lebih baik daripada yang banyak jika tidak ikhlas, sebab amal yang diterima oleh Allah s.w.t. dilipat gandakan pahalanya. Adapun yang tidak ikhlas maka tidak ada pahalanya, bahkan tempatnya dalam neraka jahannam.

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. berkata, dari Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Allah s.w.t. telah berfirman: ' Akulah yang terkaya dari semua sekutu, Aku tidak berhajat kepada amal yang dipersekutukan yang lain-lain, maka siapa beramal lalu mempersekutukan kepada lain-lainKu, maka Aku lepas bebas dari amal itu."
           
Dari ayat keterangan ini nyatalah bahawa yang beramal kerana Allah s.w.t. maka akan diterima sedang yang beramal tidak kerana Allah s.w.t. tidak akan diterima dan hanya lelah dan susah semata-mata, sebagaimana dinyatakan dalam hadis: Abu Hurairah r.a berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda: Maksudnya: Adakalanya orang puasa dan tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali lapar dan haus, dan ada kalanya orang bangun malam dan tidak mendapat apa-apa dari bangunnya kecuali tidak tidur semata-mata, yakni tidak mendapat pahala dari amalnya.

Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Yang sangat saya kuatirkan atas kamu ialah syirik yang erkecil." Sahabat bertanya: "Ya Rasullullah, apakah syirik yang kecil itu?" Nabi Muhammad s.a.w. menjawab: "Riyaa. Pada hari pembalasan kelak Allah s.w.t. berkata kepada mereka : "Pergilah kamu kepada orang-orang yang dahulu kamu beramal kerana mereka didunia, lihatlah disana kalau-kalau kamu mendapatkan kebaikan dari mereka."
                
Riyaa ialah beramal untuk dilihat orang, dipuji dilihat orang, Abul Laits berkata: "Dikatakan pada mereka sedemikian itu kerana amal perbuatan mereka ketika didunia secara tipuan, maka dibalas demikian."
                  
Allah s.w.t. membalas cara tipuan mereka itu dan membatalkan semua amal perbuatan mereka itu, kerana dahulu tidak beramal untukKu maka pembalasan amalmu itu tidak ada padaKu, sebab tiap amal yang tidak ikhlas kepada Allah s.w.t., maka tidak sampai kepadaNya, kerana itu tiap amal yang dikerjakan tidak kerana Allah s.w.t. dan kerana lainnya, maka Allah s.w.t. lepas tangan daripadanya.

Seorang ahli hikmah berkata: "Contoh orang yang beramal dengan riyaa'  itu bagaikan orang yang keluar kepasar dan mengisi poketnya dengan batu, sehinggakan orang melihat poketnya semua berasa kagum dan berkata: "Alangkah penuhnya poket wang orang itu.", tetapi sebenarnya dia sama sekali tidak berguna sebab tidak dapat dibeli apa-apa tetapi hanya sekadar mendapat pujian orang sahaja. Demikianlah pula orang yang beramal dengan riyaa' tidak ada pahalanya diakirat kelak."

Sebagaimana firman Allah s.w.t.:  yang bermaksud: "Dan Kami periksa semua amal perbuatan mereka, lalu Kami jadikan debu yang berhamburan."
           
Waki' meriwayatkan dari Sufyan Atstsauri dari orang yang mendengar Mujahid berkata: "Seorang datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan berkata: Ya Rasullullah, saya bersedekah mengharapkan keridhaan Allah s.w.t. dan ingin juga disebut dengan baik." Maka turunlah ayat 111
surah al-Kahfi: . yang bermaksud: "Maka siapa yang benar-benar mengharap akan bertemu dengan Tuhannya, maka hendaklah berbuat amal yang baik, dan jangan
mempersekutukan Allah dalam semua ibadatnya dengan sesiapa."

Abu Hurairah berkata: Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: "Akan keluar pada akhir zaman suatu kaum
(golongan) yang mencari dunia dengan menjual agama, memakai pakaian bulu domba, lidah mereka lebih manis dari madu sedang hati mereka bagaikan serigala. Allah akan berfirman kepada mereka: Apakah terhadapKu mereka bermain-main dan melawan, dengan kebesaran-Ku, Aku bersumpah akan menurunkan kepada mereka futnah ujian bala sehingga seorang yang berakal tenang akan bingung."
                   
Waki' meriwayatkan dari Sufyan dari Habib dari Abi Salih berkata: Seorang datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan berkata: "Ya, Rasullullah, saya berbuat suatu amal yang saya sembunyikan kemudian diketahui orang, maka saya merasa senang, apakah masih mendapat pahala? Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: "Ya. bagimu pahala rahasia dan terang."
                   
Abul-Laits berkata: "Diketahui orang sehingga ditiru, maka ia mendapat pahala kerana beramal dan mendapat pahala kerana ditiru orang." Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Siapa yang memberi contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari qiamat, dan siapa yang memberi contoh kejahatan maka ia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari qiamat."
                   
Abu-Laits berkata: Saya telah diceritakan oleh beberapa ulama dengan sanad mereka yang langsung dari Uqbah bin Muslim dari Samir Al-ash-bahi berkata: "Bahawa ia ketika masuk kekota Madinah melihat seorang yang dikerumuni oleh orang ramai, lalu saya bertanya: "Siapakah orang itu?" Jawab orang-orang:  "Itu Abu Hurairah r.a.". Maka saya mendekati kepadanyadan ketika tiada lagi orang ramai disitu, saya pun bertanya kepadanya: "Saya tuntut engkau demi Allah, ceritakan kepadaku satu hadis yang telah kau dengar dan kau ingat langsung daripada Rasullullah s.a.w."



Abu Hurairah r.a. berkata: "Duduklah, akan saya ceritakan kepadamu hadis yang saya sendiri mendengar dari Rasullullah s.a.w. yang waktu itu tiada orang lain bersama kami." Kemudian Abu Hurairah r.a. pun menarik nafas yang berat lalu pingsan, kemudian setelah sedar dari pingsan itu dia pun mengusapkan mukanya sambil berkata: "Akan aku ceritakan hadis Rasullullah s.a.w. .", kemudian dia menarik safas yang berat lagi dan pingsan semula. Agak lama kemudian dia sedar dan mengusapkan mukanya lalu berkata : Rasullullah s.a.w. telah bersabda: "Apabila hari kiamat kelak maka Allah s.w.t. akan menghukum diantara semua makhluk dan semua ummat bertekuk lutut, dan pertama yang dipanggil ialah orang yang mengerti al-Quran, dan orang yang mati fisabilillah, dan orang kaya. Maka Allah s.w.t. menanyakan kepada orang yang pandai al-Quran: Tidakkah Aku telah mengajar kepadamu apa yang Aku turunkan kepada utusanKu? Jawab orang itu: Benar, ya Tuhanku. lalu kau berbuat
apa terhadap apa yang telah engkau ketahui itu? Jawabnya:

Saya telah mempelajarinya diwaktu malam dan mengerjakannya diwaktu siang. Firman Allah s.w.t. : Dusta kau. Lalu malaikat juga berkata: Dusta kau, sebaliknya kau hanya ingin disebut qari, ahli dalam al-Quran, dan sudah disebut yang demikian itu. Lalu dipanggil orang kaya dan ditanya: Engkau berbuat apa terhadap harta yang Aku berikan kepada kamu? Jawabnya: Saya telah menggunakan untuk membantu kaum keluarga dan bersedekah. Dijawab Allah s.w.t. :Dusta kau.

Para malaikat pun berkata: Dusta kau, kau berbuat begitu hanya kerana ingin disebut sebagai seorang dermawan, dan sudah terkenal sedemikian. Lalu dihadapkan orang yang mati berhijad fisabilillah lalu ditanya: Kenapa kau terbunuh? Jawabnya: Saya telah berperang untuk menegakkan agamaMu sehingga terbunuh. Allah s.w.t. berfirman: Dusta engkau. Dan malaikat juga berkata: Dusta engkau, kau hanya ingin disebut sebagai seorang pahlawan yang gagah berani dan sudah disebut sedemikian.
                     
Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. memukul lututku (pahaku) sambil bersabda yang bermaksud: "Hai Abu Hurairah, ketiga orang itulah yang pertama-tama yang dibakar dalam api neraka pada hari kiamat." Kemudian berita itu sampai kepada Mu'awiyah maka ia menangis dan berkata: "Benar Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w.".
 
Kemudian ia membaca ayat 15-16 surah Hud yang berbunyi:  Yang bermaksud: Siapa yang niat dengan amalnya hanya semata-mata keduniaan dan keindahannya maka Kami akan memberi kepada mereka semua amalnya dan mereka didunia tidak akan dikurangi (dirugikan).(15). Mereka itulah yang tidak mendapat diakirat kecuali api neraka, dan gugur semua amal mereka itu, bahkan palsu semua perbuatan mereka itu.(16).
          
Ady bin Hatim Aththa'i berkata Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Pada hari kiamat beberapa orang yang diperintahkan untuk membawa kesyurga dan setelah melihat segala keindahannya serta merasakan bau harumnya maka diperintahkan untuk dijauhkan daripadanya kerana mereka tidak ada bagian didalamnya, maka kembali mereka dengan penjelasan yang tidak ada tara bandingnya, sehingga mereka berkata: Ya Tuhan, andaikan Kau masukkan kami kedalam neraka sebelum Kau perlihatkan kami pahala yang Kau sediakan bagi para waliMu. Jawab Allah: Sengaja Aku berbuat itu kepada kamu, kamu dahulu bila bersendirian berbuat dosa-dosa besar, dan bila dimuka orang-orang berlagak alim sopan dan taat, kamu hanya riya', memperlihatkan kebaikan kepada manusia, dan tidak takut kepadaKu, kamu mengagungkan orang dan tidak mengagungkan Aku, maka kini Aku  merasakan kepada kamu kepedihan siksaKu, disamping Aku haramkan atas
kamu kebesaran pahalaKu.

Kesimpulan

Dalam satu hadis Qursi,Allah Taala ada berfirman "Ikhlas adalah satu rahsia rahsiaKu.Aku titiskan ia dalam hati hamba hambaKu yang Aku kehendaki."

Kerana itu rahsia Allah,tentulah kita tidak mungkin dapat tahu siapakah yang ikhlas atau tidak.Malah diri sendiripun kadang kadang susah untuk dipastikan apakah ikhlas atau sebaliknya. Walaupun ia rahsia ,namun islam telah membuat garis panduan untuk kita mengukur hati dan membentuknya supaya benar benar ikhlas.
 
Untuk mendapatkan hati yang ikhlas bukanlah sesuatu yang mudah.Tanpa usaha yang sungguh sunguh serta istiqamah kita akan tewas ditangan syaitan yang sentiasa berusaha untuk menjatuhkan kita.Ingatlah ketika Allah Taala melaknatinya , syaitan merayu untuk menyesatkan semua anak cucu Nabi Adam a.s lalu Allah membenarkan dengan bermaksud:
"Kecuali hamba hambaKu yang ikhlas"

Oleh itu syaitan akan menyesatkan semua manusia supaya derhaka kepada Allah Taala.Semua orang akan mengikutnya kecuali mereka yang memiliki hati yang ikhlas .Demikianlah ketentuan Allah Taala .Satu ketentuan yang pasti dan kita akan menghadapinya suatu hari nanti.Hari dimana manusia tidak boleh berdolak dalih lagi.Dihari itu orang yang tidak ikhlas akan menyesal kerana amalanya tertolak sesungguhnya Allah lebih mengetahui darinya melalui gerak hatinya sendiri.

Dari itu kita semua perlu berhati hati.
Mujahadahlah melawan godaan hawa nafsu dan syaitan serta betulkan niat ketika melakukan sesuatu amalan . Pohon pimpinan Allah Taala selalu agar diberikan hati yang ikhlas.

Semoga Bermanafaat
Wallahu'alam

Thursday, March 6, 2014

Menjadi Pendengar Yang Baik



Menjadi pendengar yang baik adalah segala-galanya bagi memulakan komunikasi yang berkesan.   Cuba perhatikan kehidupan seharian anda.  Cuba perhatikan mereka disekeliling anda.  

Anda akan dapati jumlah mereka yang benar-benar menjadi pendengar yang baik adalah terlalu sedikit.  Kajian menunjukkan mereka yang berjaya dalam hidup hampir semuanya merupakan pendengar yang baik.  

Kerana tidak menjadi pendengar yang baik, maka anak-anak anda bermasalah.  Faktor ini juga penyebab keretakan dan pergaduhan rumah tangga.  Anda juga mungkin tidak begitu disenangi oleh mereka disekeliling anda hanya kerana faktor yang sama.

Terdapat dua sebab utama kenapa anda mesti mengetahui rahsia untuk menjadi pendengar yang baik. Pertamanya anda mempelajari apa yang anda tidak ketahui hanya setelah anda sanggup mendengar.  Kedua, manusia hanya mengutamakan mereka yang menjadi pendengar yang baik. 


 "I don't sit on top of a mountain and get these visions of what we ought
to do, I have to find out from other people.  I have to do a lot of listening".
- Richard C. Buetow -
Director of Quality, Motorola Inc.


Mereka yang telah berjaya seperti Buetow juga mengambil langkah untuk menjadi pendengar yang baik bagi membentuk matlamat syarikatnya.  Dia tahu bila dia perlu memperkatakan sesuatu, dan bila pula masanya untuk diam dan menjadi pendengar yang baik.

Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil untuk anda menjadi pendengar yang baik: 

1.      Dengar dengan teliti apa yang sedang diperkatakan.
2.      Berikan perhatian sepenuhnya.
3.      Berikan 'eye-contact'.  Lihat tepat kedalam anak matanya.
4.      Anggukkan kepala sebagai tanda gerakbalas anda.
5.      Ikuti perbualannya dengan berkata, "ya.... ya..  aha".
6.      Cuba selami perasaan orang yang sedang bercakap dan hayati ceritanya.
7.      Ubah mimik muka anda seiring dengan perkara yang dipertuturkan.  Misalnya, jangan pula sesuatu perkara yang sepatutnya anda terkejut tetapi anda buat tidak tahu pula.
8.      Elakkan dari mengkritik.
9.      Jangan menyampuk dan memotong cerita yang belum selesai.
10.  Susuli dengan soalan-soalan sebagai tanda yang anda memang mendengarnya dengan penuh minat.
11.  Ulangi apa yang dibicarakan sebagai tanda anda faham atau untuk memastikan apa yang anda fahamkan itu betul.

Anda perlu mempraktikkan kaedah yang diberi di atas setiap hari sehingga ia mula menjadi tabiat baru anda.  Perhatikan bagaimana mereka disekeling anda mula mengutamakan anda.  Anak-anak mula mahu meluahkan perasaan dan berbincang.  Suami atau isteri mula mahu lebih berinteraksi.  Rakan-rakan mula menjadikan anda teman karibnya.  Orang bawahan anda mula menghormati anda sebagai ketua.  Begitulah berkuasanya bila anda mahu menjadi pendengar yang baik.