AL-QURAN 1

Friday, December 15, 2017

Taharah / Bersuci

1. Definisi:

i) Dari segi bahasa: Suci dan bersih
ii) Dari segi istilah syarak: Suci dan bersih daripada najis atau hadas.

2. Taharah ialah anak kunci dan syarat sah salat.

3. Hukum taharah ialah WAJIB di atas tiap-tiap mukallaf lelaki dan perempuan.

4. Dalil naqli tentang suruhan bersuci adalah sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Anfal, ayat 11 yang bermaksud: "Dan (ingatlah ketika) Dia menurunkan kepada kamu hujan daripada langit untuk mensucikan kamu dengannya..."
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Agama islam itu diasaskan di atas kebersihan"

5. Tujuan taharah ialah bagi membolehkan seseorang itu menunaikan solat dan ibadah-ibadah yang lain.

6. Hikmah disuruh melakukan taharah ialah kerana semua ibadah khusus yang kita lakukan itu adalah perbuatan mengadap dan menyembah Allah Ta'ala. Oleh itu untuk melakukannya, maka wajiblah berada di dalam keadaan suci sebagai mengagungkan kebesaran Allah s.w.t. .

7. Faedah melakukan taharah ialah supaya badan menjadi bersih, sihat dan terjauh daripada penyakit serta mendatangkan kegembiraan kepada orang yang melaksanakannya.

8. Syarat wajib taharah ialah:
- Islam
- Berakal
- Baligh
- Masuk waktu (Untuk mendirikan solat fardhu)
- Tidak lupa
- Tidak dipaksa
- Berhenti darah haid dan nifas
- Ada air atau debu tanah yang suci.
- Berdaya melakukannya mengikut kemampuan.

9. Taharah adalah sebagai bukti bahawa Islam amat mementingkan kebersihan dan kesucian.

Rujukan Kitab:

1) Kitab Mattlaal Badrain oleh Syeikh Muhammad bin Daud Al-Fatani
2) Ringkasan Ibadah oleh Ibnu Rahmat .
3) Kitab Minhajul Muslim oleh Abu Bakar Jabir Al-Jazairi .
4) Fiqh Syafii oleh Hj.Idris Ahmad S.H.


Sumber :
http://jaipk.perak.gov.my/koleksi-solat/148-taharah-bersuci

Friday, October 6, 2017

JENIS AIR


1. Air terbahagi kepada empat bahagian iaitu:


a) Air Mutlaq:

Air yang suci lagi menyucikan ialah air mutlaq yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan oleh Allah s.w.t.

Air tersebut masih dikatakan air mutlaq walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar, disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang. Hal ini kerana air itu sukar untuk dielakkan daripada perkara tersebut.

Dalil yang menunjukkan kesucian air mutlaq, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Daripada Abu Hurairah r.a.h. katanya, seorang Badwi berdiri lalu terkencing di dalam masjid, kemudian para sahabat pergi mencegahnya. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, biarkan dia dan curahkanlah di atas air kencingnya setimba air. Sesungguhnya kamu disuruh untuk mempermudahkan bukan menyusahkan".

Perintah Rasulullah s.a.w. supaya menjiruskan air ke tempat air kencing tersebut adalah dalil yang menunjukkan bahawa air tersebut mempunyai sifat menyucikan.


b) Air Musta'amal:

Iaitu air yang suci pada dirinya tetapi tidak menyucikan yang lain yang mana maksudnya dengan perkataan air itu boleh diminum tetapi tidak sah dipakai untuk menyucikan sesuatu.

1) Yang dikatakan air Musta'amal pada mengangkatkan hadas ialah basuh kali yang pertama pada mandi atau wudhu' yang wajib dan sudah bercerai daripada anggota.

2) Yang dikatakan air Musta'amal pada menghilangkan najis iaitu jika air itu tidak berubah dan tidak bertambah.

3) Air daripada pokok-pokok dan air buah-buahan seperti daripada pucuk kelapa Yang dibuat nira atau akar-akar kayu.

Air yang berubah ada dua cara :-

1) Berubah dengan Taqdiri - Air yang berubah dengan Taqdiri iaitu air yang berubah hanya pada Taqdir sahaja yang tidak dapat dilihat akan perubahannya.

2) Berubah dengan Hissi - Air yang berubah pada Hissi iaitu berubah air itu dengan sesuatu yang dapat dilihat akan perubahannya.

- Cara mentaqdirkan hukum air yang bercampur dengan sesuatu yang sama rupanya dengan seperti air mawar yang telah hilang bau, rasa dan warnanya.

- pada bau hendaklah ditaqdirkan dengan bau kemenyan Arab.
- pada rasa hendaklah ditaqdirkan dengan rasa delima.
- pada warna hendaklah ditaqdirkan dengan warna anggur.

Jika berubah dengan taqdir ini maka hukumnya air musta'amal dan jika tidak berubah dengan taqdir ini maka hukumnya air mutlak.

- Air yang bercampur itu ada dua cara:-

1) Majawir

- Bercampur dengan cara Mujawir iaitu air yang berubah dengan sebab termasuk di dalamnya dengan sesuatu yang dapat dipisahkan daripada air, contohnya sebuah baldi yang penuh dengan air termasuk di dalamnya sebatang kayu cendana dan kayu itu boleh dipisahkan daripada air tersebut, maka hukum air itu ialah air mutlak. -

2) Mukhalit

- Bercampur dengan cara Mukhalit iaitu benda yang masuk ke dalam air itu tidak dapat dipisahkan daripada air, contohnya sebuah baldi yang penuh dengan air maka termasuk ke dalamnya nila maka dihukumnya air Musta'amal.

c) Air Musyammas:

Iaitu air yang suci lagi menyucikan tetapi makruh menggunakannya.
Air yang suci lagi menyucikan yang lain tetapi makruh digunakan pada tubuh badan tidak pada pakaian.

Air Musyammas bermaksud air yang panas yang terdedah kepada cahaya matahari iaitu pada negeri-negeri yang beriklim panas yang mana ia boleh mendatangkan karat seperti besi, tin dan lain-lain yang mana ia memberi mudharat apabila terkena kulit atau tubuih badan menyebabkan ianya sopak, kusta dan sebagainya. Sebagaimana Sabda Rasullah s.a.w. yang bermaksud: "Dari Aisyah sesungguhnya ia telah memanaskan air pada cahaya matahari maka telah bersabda Rasullah s.a.w kepadanya janganlah engkau berbuat demikian wahai Aisyah sesungguhnya air yang dijemur itu dapat menimbulkan penyakit sopak." (Riwayat Baihaqi)


d) Air Mutanajjis:

Air Mutanajis ialah air yang Bercampur dengan cara Mujawir iaitu air yang berubah dengan sebab termasuk di dalamnya dengan sesuatu yang dapat dipisahkan daripada air, contohnya sebuah baldi yang penuh dengan air termasuk di dalamnya sebatang kayu cendana dan kayu itu boleh dipisahkan daripada air tersebut, maka hukum air itu ialah air mutlak.
Terkena najis, sedangkan ia kurang dari dua kolah, atau air yang lebih daripada dua kolah tetapi terkena najis sehingga berubah warna, rasa atau baunya. Air ini tidak boleh digunakan untuk bersuci kerana ia tidak suci dan tidak mensucikan.

Ukuran air dua kolah itu ialah sebagai berikut :-
Kalau dikira dengan tin minyak tanah, maka air dua kolah itu adalah sebanyak 9 2/3 tin
Kalau dikira dengan timbangan, maka berat air dua kolah itu adalah seberat 162.72 kg.
Kalau dikira dengan ukuran tempat empat persegi, maka air dua kolah itu memerlukan tempat yang berukuran 60 x 60 cm.


Sumber :
http://jaipk.perak.gov.my/koleksi-solat/149-jenis-air

Friday, April 28, 2017

SOLAT JUMAAT


Solat Jumaat ialah solat fardu (dua rakaat) yang dilakukan pada hari Jumaat menggantikan solat Zohor, dan ianya dilakukan secara berjemaah selepas mendengar khutbah. Solat Jumaat itu hukumnya Fardhu Ain, iaitu wajib dikerjakan atas setiap mukallaf dengan syarat-syarat tertentu.

Firman Allah:

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah [dengan mengerjakan solat Jumaat] dan tinggalkanlah berjual beli [pada saat itu]; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui [hakikat yang sebenarnya]," - Al-Jumu'ah: 9

Sabda Rasulullah SAW:

"Solat Jumaat itu hak wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang Islam dengan berjemaah, kecuali empat jenis manusia: hamba sahaya yang dimiliki, perempuan, anak-anak, dan orang yang sakit." - Riwayat Abu Dawud & Hakim.

Syarat wajib solat Jumaat:


1. Islam - tidak wajib bagi orang kafir.
2. Baligh - tidak wajib bagi kanak-kanak yang belum baligh.
3. Berakal - tidak wajib bagi orang yang gila.
4. Merdeka - tidak wajib ke atas hamba abdi.
5. Lelaki - tidak diwajibkan untuk orang perempuan.
6. Sihat - tidak wajib bagi orang yang uzur dan berhalangan.
7. Bermastautin atau bermukim - tidak wajib bagi orang yang musafir.

Syarat sah solat Jumaat:


1. Didirikan di dalam waktu Zuhur.
2. Tempat mendirikan solat Jumaat itu hendaklah di suatu tempat yang telah ditetapkan seperti masjid, dewan, padang dan sebagainya.
3. Mestilah berjemaah dengan sekurang-kurangnya 40 orang yang tinggal tetap di kawasan itu.
4. Didahului dengan dua khutbah.

Rukun-rukun khutbah Jumaat:


1. Khutbah dimulai dengan memberi pujian pada Allah SWT seperti ucapan: "Allahamdulillah".
2. Diikuti dengan salawat ke atas Nabi Muhammad SAW: "Allahuma salli ala Saidina Muhammad waala ali Saidina Muhammad."
3. Khutbah hendaklah mengandungi pesanan kepada para jamaah agar bertaqwa kepada Allah SWT seperti: "bertaqwalah kamu kepada Allah."
4. Membaca satu ayat Quran pada khutbah yang pertama atau kedua, tapi paling elok pada khutbah yang pertama.
5. Mendoakan setiap Muslim pada khutbah yang kedua sekurang-kurangnya: "Rahima-kumullah."

Syarat sah Khutbah Jumaat:


1. Pembaca khutbah hendaklah seorang lelaki, tidak sah jika orang perempuan.
2. Pembaca khutbah hendaklah menutup aurat.
3. Suci daripada hadas dan najis pada pakaian, badan dan tempat.
4. Berdiri pada kedua-dua khutbah itu pada yang mampu.
5. Membaca khutbah setelah masuk waktu Zuhur dan dilakukan sebelum solat Jumaat.
6. Membaca rukun-rukun khutbah di dalam bahasa Arab, tidak boleh di baca dalam bahasa ibunda seperti membaca salawat Nabi dalam bahasa Melayu.
7. Mualat antara khutbah yang pertama dengan khutbah yang kedua, antara segala rukunnya dan antara khutbah dengan solat.
8. Duduk sebentar setelah selesai khutbah pertama sebelum memulakan khutbah kedua. Jikalau pembaca berkhutbah dalam keadaan duduk, maka pisahkan di antara dua khutbah itu dengan diam sebentar.
9. Khutbah didengar oleh 40 orang yang bermukim sekalipun tidak memahami bahasa yang digunakan untuk menyampaikan khutbah.
10. Mencukupi bilangan 40 orang dari mula khutbah hingga akhir solat.

Seorang Muslim yang mengalami salah satu perkara di bawah ini adalah dikecualikan dari menunaikan solat Jumaat, mereka hanya perlu solat Zohor seperti biasa:

1. Sakit - Iaitu sakit yang menyukarkan untuk ke masjid atau bimbang akan memudaratan penyakitnya.
2. Hujan - Jika hujan itu membawa kesukaran untuk pergi ke masjid.
3. Musafir - Iaitu orang yang keluar sebelum subuh untuk bermusafir.
4. Takut dizalimi - Orang yang bersembunyi kerana takut di zalimi.

Perkara-perkara sunat yang dilakukan pada hari Jumaat:


1. Mandi sunat hari Jumaat, terutama ketika hendak berangkat ke Masjid.
2. Memotong kuku.
3. Memotong, mencabut atau mengunting bulu [ketiak, hidung, misai].
4. Bersugi.
5. Memakai wangi-wangian.
6. Berhias diri dengan memakai pakaian yang bersih dan cantik.
7. Bersegera pergi ke masjid.
8. Berniat iktikaf.
9. Solat Tahiyatul Masjid sebaik sahaja masuk ke dalam masjid.
10. Memperbanyakkan berzikir, membaca Al Quran dan bersalawat atas Nabi.

Sumber Link :
http://jaipk.perak.gov.my/koleksi-solat/151-solat-jumaat