Oleh: Ustazah Nik
Suhaila bt Nik Muhammad
“Ikhlas itu
jiwa yang murni, rahsia Allah di dalam hati, terlalu sembunyi tapi dapat
dikesan, jika disuluh dengan saksama, nista dan puji tiada berbeza.” Itulah antara bait-bait lagu nasyid oleh
salah satu kumpulan nasyid popular yang menggambarkan tentang keunikan sifat
ikhlas.
Sifat ikhlas
sangat istimewa. Walaupun sulit untuk diberikan pengertian yang tepat dan
tiada tanda-tanda jelas yang menggambarkan kehadirannya, namun ia memberikan
pengaruh yang besar dan bermakna terutamanya dalam amalan dan perbuatan setiap
yang bergelar Mukmin. Jika keikhlasan yang mendahului setiap gerak-geri insan,
akan lahir keluhuran dan membuahkan keberkatan Allah SWT dalam setiap
amalannya. Ia amat berkait rapat dengan persoalan hati seperti yang dimaksudkan
oleh hadith Rasulullah SAW : “Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat,
dan sesungguhnya bagi seseorang itu apa yang diniatkannya.”(Riwayat Bukhari
& Muslim)
Al-Imam
asy-Syahid Hasan al-Banna menyatakan, “Ikhlas adalah setiap kata-kata,
amalan dan jihad setiap Muslim hanya kerana Allah SWT, untuk mencari keredhaan
dan ganjaran baik dari-Nya, tanpa memandang kepada imbuhan duniawi, kemewahan,
kemegahan atau gelaran. Justeru, insan itu menjadi pengikut kerana akidah dan
fikrah bukan kerana kebendaan atau sebarang kepentingan peribadi.” Daripada
kata-kata Imam Hasan al-Banna, dapat difahami bahawa sifat ikhlas ialah
melakukan sesuatu amalan semata-mata kerana mencari keredhaan Allah SWT. Amalan
yang dilakukan tidak dicampuri oleh keinginan dunia, keuntungan untuk diri
sendiri, mencari pangkat dan darjat, inginkan kemasyhuran, pujian dan dikenali
seluruh dunia kerana sesuatu perkara yang ada pada dirinya.
Sebagaimana solat
lima waktu yang menjadi tiang untuk meneguhkan dan sebagai perlambangan bagi
seseorang yang bergelar Muslim, membezakan dirinya dengan penganut agama lain,
sifat ikhlas menjadi penanda aras kepada amalan setiap insan. Justeru, ikhlas
disebut di awal solat sebagai pembukaan kepada kesedaran minda bahawa apa yang
sedang dilaksanakan ini hanya kerana-Nya. Firman Allah SWT dalam surah
al-An`am, ayat 162 yang bermaksud :“Katakanlah olehmu, “Sesungguhnya
solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah SWT, Tuhan
yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”
Sifat ikhlas
di dalam diri insan boleh
diumpamakan seperti akar tunjang bagi sebatang pokok. Walaupun
tersembunyi di dalam perut bumi dan tidak dapat dilihat oleh pandangan mata,
namun ia menjadi penguat dan menyokong pokok itu tumbuh tegak dan teguh
walaupun dirempuh oleh angin kencang dan ribut yang melanda. Keteguhan peribadi
seperti ini akan melahirkan seorang Mukmin yang mampu bertahan walaupun diuji
dengan pelbagai dugaan.
Keistimewaan
Sifat Ikhlas
Kehadiran sifat
ikhlas dalam diri individu memberikan pengaruh yang sungguh besar terutamanya
ke arah pembentukan peribadi yang syumul dan berkualiti sejajar dengan syariat.
Antaranya
Menjauhkan
Sifat Berpura-pura
Sememangnya
menjadi lumrah manusia jika melakukan kebaikan mereka inginkan pujian,
dipandang hebat oleh manusia, mendapat ganjaran keduniaan seperti pangkat,
darjat malahan harta benda. Diri akan merasa bangga dan puas jika mendapat
ganjaran keduniaan yang diimpikan. Alangkah ruginya golongan yang hanya mendapat
kelebihan dunia, di sisi manusia. Namun di sisi Allah SWT semuanya kosong dan
tidak bermakna. Setiap amalan yang dilaksanakan, jika tiada keikhlasan hanyalah
sesuatu yang hipokrit dan berpura-pura. Rasulullah SAW pernah bersabda yang
bermaksud, “Pada hari kiamat nanti, dunia akan dibawa kemudian
diasing-asingkan perkara yang dikerjakan kerana Allah dan yang dilakukan bukan
kerana Allah, lalu dicampakkan ke dalam api neraka”. (Riwayat
Baihaqi).
Membunuh Sifat
Riya’
Sifat riya’ boleh
memusnahkan pahala amalan yang dilakukan. Sekiranya melaksanakan sesuatu
perkara di hadapan orang lain, perkara tersebut dilakukan dengan sebaik mungkin
supaya nampak cantik pada pandangan manusia. Namun, bila bersendirian dan tidak
diketahui oleh orang lain, perbuatannya hanya sekadar “melepaskan batuk di
tangga”, tidak bersungguh-sungguh dan tidak sempurna. Sifat suka
menunjuk-nunjuk ini dapat dihapuskan sekiranya disertai dengan keihklasan niat
kerana Allah SWT.
Membentuk Jiwa
yang Kental
Seorang yang
ikhlas, terselit dalam setiap amalannya niat melakukan kerja kerana Allah SWT.
Dalam setiap detik kehidupan pula tidak semua perkara yang dilaksanakan meraih
kesempurnaan. Ada cacat cela dan kekurangan yang boleh menimbulkan rasa kecewa
dan tidak puas hati di kalangan pelakunya. Justeru, dengan keikhlasan akan
terbentuk jiwa yang kental, tidak mudah mengalah dengan ujian dan kepayahan.
Sekiranya kecewa pada sesuatu masa, jiwa yang ikhlas akan segera terubat kerana
yakin setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Secara tidak langsung,
individu yang ikhlas akan kembali bangkit untuk melaksanakan yang terbaik
kerana Allah SWT tanpa terus menerus terkurung dengan kekecewaan yang telah
berlaku.
Memupuk
Sifat Redha dan Tenang
Dunia adalah
pentas ujian. Allah berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud : “Patutkah
manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata “
Kami beriman” sedang mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan?”. Bagi
insan yang ikhlas menjalani kehidupannya, sudah pasti mereka akan sentiasa
tenang walaupun terpaksa melalui kepayahan dan dugaan yang hebat. Mereka akan
tetap meneruskan kehidupan dengan hati yang lapang dan redha dengan
ketentuan-Nya di samping sentiasa berusaha melakukan yang lebih baik dari
semasa ke semasa.
Kesimpulan
Keikhlasan adalah
suatu sifat mahmudah yang patut disemai dalam setiap sanubari insan yang
mengaku beriman. Sememangnya bukan mudah untuk menjadi seorang yang benar-benar
ikhlas dalam kehidupannya kerana ia berkait rapat dengan persoalan hati manusia
yang sentiasa berbolak-balik dan tidak nampak tandanya dengan jelas. Apa yang
boleh dilakukan, berusahalah dengan sebaik mungkin dalam melaksanakan amalan di
dunia ini dan niatkan segala-galanya kerana Allah SWT. Hanya Dia yang
selayaknya memberikan ganjaran yang benar-benar setimpal atas apa yang
diusahakan. Bagi sesiapa yang telah beramal dengan penuh keikhlasan, tiba-tiba
dipuja dan dipuji oleh manusia atas sumbangan dan kebaikannya, sedangkan itu
semua tidak memberikan kesan kepada kecintaan dan keikhlasan kepada Allah SWT,
mereka itulah yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “ Rasulullah
SAW telah ditanya berkenaan seseorang yang telah berbuat amal
kebaikan, tiba-tiba manusia memujinya?” Jawab Baginda, "Itulah khabar
gembira yang didahulukan buat para Mukmin" (Riwayat Muslim)
*Artikel ini
telah diterbitkan dalam Majalah Dian, isu 3.
Tarikh : Mac 27, 2012 - 3:21pm
Editor : mdyusof