Rasuah merupakan satu tindakan pemerasan yang dilakukan oleh seseorang
dengan tujuan untuk mendapatkan pertolongan dan faedah dirinya sendiri. Ini
kerana apabila melalui prosedur-prosedur biasa, dia tidak akan memperoleh
apa-apa yang dikehendakinya itu. Secara amnya rasuah bermakna kuasa yang telah
diberikan kepadanya disalahgunakan dan bertindak untuk kebaikan diri sendiri
dan bersikap ‘pilih kasih’ dalam tindakannya.
Perkataan
rasuah berasal daripada perkataan Arab “al-risywah”. Di dalam al-Quran, rasuah
digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perkataan jenayah lain
seperti merompak, menipu dan memeras ugut. Di negara ini, dari segi
undang-undang semua perkataan “ memberi dan menerima suapan” adalah sebahagian
daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah.
Biasanya, rasuah
dijadikan sebagai salah satu jalan pintas seseorang untuk mengecapi kehidupan
mewah atau dengan erti kata lain mahu menjadi kaya dalam masa singkat.
Kebiasaannya orang yang melakukan budaya ini tidak memikirkan kesan buruk yang
akan terjadi, sebaliknya mereka hanya memikirkan keuntungan kepada diri mereka.
Sebagai umat Islam, keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT harus
dititikberatkan dalam apa juga urusan. Islam sangat melarang umatnya daripada
mengamalkan budaya ini. Seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Daripada Abu
Hurairah RA. ia telah berkata: “Rasulullah SAW telah mengutuk orang yang suka
memberi rasuah dan orang yang suka menerima rasuah dalam soal hukum-
menghukum”.
Perbuatan rasuah
ini adalah perbuatan yang sangat keji dan berdosa. Mereka yang terjebak dalam
budaya rasuah akan memperoleh balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka
ini. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :
“ Pemberi dan
penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka”.
Allah telah
berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
“Dan janganlah
sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antaranya kamu dengan
jalan yang batil (tiada hal) dan (jangan) kamu bawa kepada hakim, supaya dapat
kamu memakan sebahagian harta orang yang berdosa sedang kamu mengetahuinya”. (al-Baqarah : 188)
PANDANGAN ISLAM
MENGENAI RASUAH
Budaya rasuah ini sebenarnya telah dahulu disedari oleh
Islam dan cara yang terbaik bagi mengatasi dan mengawal budaya ini telah
disediakan. Langkah pertama yang tegas telah diutarakan oleh Islam iaitu
terhadap mengharamkan secara berkesan tanpa bertolak ansur dengan rasuah,
seperti sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi yang bermaksud :
“
Penerima dan pemberi rasuah akan ditempat dalam api neraka”.
Perbuatan ini juga dikutuk dengan kerasnya oleh
Allah SWT sebagaimana dinyatakan dalam hadis lain yang
diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud :
“Allah
SWT melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang
memberikan jalan terhadap kedua-duanya”.
Berdasarkan dalil-dalil diatas jelas membuktikan Islam melarang
perbuatan keji ini. Kutukan itu bukan sahaja terbatas kepada penerima malah
pemberi dan sesiapa juga yang bersubahat melicinkan kegiatan rasuah ini.
PUNCA BERLAKUNYA RASUAH
Antara punca berlakunya rasuah ialah :
a) Kelemahan
peribadi seperti kurang iman dan takwa. Seseorang itu tahu bahawa rasuah
dilarang oleh agama dan undang-undang, tetapi dilakukan juga dengan seribu satu
alasan peribadi. Hal ini termasuk dalam teori “Technique of Neutralization”
oleh Grisham Sykes dan David Matza. Mereka mengatakan, “ Lakukan rasuah secara
rahsia asalkan tiada siapa yang tahu”. Sikap mahu hidup mewah, riak,
menunjuk-nunjuk, tamak, ingin cepat kaya dan sebagainya adalah pendorong
berlakunya rasuah bagi mereka yang lemah keperibadiannya.
b) Kelemahan
kepimpinan dan pengurusan organisasi. Kepimpinan yang lemah menyebabkan
kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lembap menjalankan tugas dan terbuka
kepada penyelewengan khususnya rasuah.
c) Sosial dan
budaya. Masyarakat majmuk di Malaysia
mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena
menyambut hari-hari kebesaran hari perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan
dan sebagainya. Hari yang baik ini memberi kesempatan kepada perasuah dan
penerima rasuah melakukan rasuah sama ada diminta, disogok atau diumpan tanpa
disedari.
d) Modenisasi.
Pembangunan sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan
kerohanian akan memudahkan terjadinya rasuah. Projek pembangunan bercambah
seperti cendawan tumbuh. Pengaliran wang juga akan meningkat. Golongan yang
terlibat juga mengambil kesempatan untuk mengaut untung sebanyak-banyaknya.
Perlumbaan moden memperlihatkan para kontraktor berlumba-lumba mendapatkan
tender. Mereka juga akan berusaha untuk memenangi hati pegawai pengurusan atau
pembuat keputusan. Rasuah diberikan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan
tender, mempercepatkan bayaran, melepaskan hukuman atau tindakan jika gagal
atau lambat menyiapkan projek dan
sebagainya.
e) Politik.
Sesetengah ahli politik menggunakan kesempatan untuk berbakti kepada masyarakat
dengan menerima dan memberi rasuah untuk mendapatkan kuasa, memenangi pemilihan
jawatan politik, mengumpul kekayaan, menagih populariti dan sebagainya.
KESAN-KESAN RASUAH
Perbincangan mengenai rasuah adalah penting kerana kegiatan rasuah akan
melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu organisasi. Dengan adanya kegiatan
rasuah, tiada sesiapa akan dapat mengagak tindakan seseorang atau hasil
daripada sesuatu rancangan untuk masa depan. Kemajuan sesebuah negara
bergantung kepada cerdik pandai dan profesional yang ada. Kegiatan rasuah akan
hanya menghakis kepercayaan orang awam terhadap cerdik pandai negara kita.
Selain itu pemerintahan menjadi lemah kerana setiap kali rasuah berlaku,
maka pemerintah kehilangan hasil atau tergelincir daripada tindakan-tindakan
yang sepatutnya. Umpamanya jika cuai terhadap sesuatu yang telah ditentukan,
maka pemberian rasuah telah menggantikan
wang cukai yang sepatutnya dikutip dan manfaatnya hanya dinikmati oleh
segelintir pemberi rasuah.
Kesan yang paling besar daripada gejala rasuah ini ialah akan
menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir. Akibatnya , ia
menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan
masyarakat dan sebagainya. Budaya rasuah juga boleh menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan
sesebuah negara. seperti yang berlaku di Filipina yang mencatatkan sejarah
kejatuhan kerajaan presiden Marcos dari tampuk kepimpinan disebabkan amalan
rasuah yang tidak terbendung.
LANGKAH-LANGKAH MENCEGAH RASUAH
Antara langkah mencegah rasuah
adalah seperti berikut :
1.Memantapkan Iman Dan Mengukuhkan Jatidiri
Keimanan dan keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling ampuh
untuk membenteras gejala rasuah. Apabila setiap individu bencikan rasuah sama ada
rakyat biasa, pemimpin,peniaga, atau jentera kerajaan maka amalan rasuah dapat
diatasi. Kekuatan Iman dan jati diri dapat menangkis habuan rasuah sekali pun
tiada sesiapa tang tahu dan peluang terbuka luas di hadapan mata.
2. Mamasukkan bahaya rasuah dalam sistem pendidikan
-Benci kepada rasuah akan dapat dihayati dalam diri sekiranya diajar dan
dididik sejak zaman persekolahan lagi. Generasi yang dididik benci rasuah akan membesar menjadi individu
yang lebih bertanggungjawab, amanah, ikhlas. Sistem pendidikan hanya membentuk
generasi akan datang yang bebas daripada rasuah.
3. Meningkatkan Penguatkuasaan Undang-Undang dan Hukuman
Siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan lagi agar
masyarakat sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak dibenteras
dan dibendung untuk keselamatan negara. Selain itu para pengamal rasuah akan
berfikir banyak kali sebelum cuba melakukan rasuah lantaran hukuman berat yang
bakal diterima.
4.Memudahkan urusan menggunakan ICT
-Prosedur diproses yang panjang, sukar dan lambat perlu diperkemaskan
dan dipermudahkan dengan menggunakan kelebihan ICT. Penggunaan borang, proses
temu duga dan seumpamanya perlu diringkaskan
supaya tidak membebankan orang ramai khususnya para peniaga, kontraktor dan
pelabur. Proses yang mudah dan telus dapat menghindari bahaya rasuah kerana
tidak perlu disogok semata-mata untuk mempercepatkan proses.
No comments:
Post a Comment