Dalam artikel Bahagian 1 sebelum ini, saya telah
membincangkan apa yang dikatakan matlamat dan bagaimana untuk membentuknya.
Kali ini mari kita lihat pula kenapa matlamat itu perlu. Kajian di
institusi pengajian tinggi menunjukkan 80% pelajar tidak bermatlamat dan ini
adalah punca utama pelajar melayu gagal bersaing. Menyedihkan tetapi
itulah hakikatnya.
Sekiranya anda ada matlamat, maknanya anda telahpun menetapkan apa yang mahu dicapai dalam suatu tempoh yang tertentu. Ini pastinya memudahkan lagi untuk anda merancang tugas anda setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan.
Contoh:
Katakan anda mahu menghabiskan ulangkaji mata pelajaran Sains sebulan sebelum tibanya peperiksaan PMR. Katakanlah, pelajaran Sains itu mempunyai 24 tajuk dan anda kini mempunyai 6 bulan sahaja untuk menghabiskannya (iaitu sehingga sebulan sebelum PMR). Ini bermakna anda perlu menghabiskan 4 tajuk Sains setiap bulan, atau lebih kurang 1 tajuk setiap minggu. Sekiranya anda merancang untuk belajar Sains sebanyak 4 kali seminggu, gunakan 3 sessi yang pertama untuk menghabiskan satu-satu tajuk dan gunakan sessi ke-4 untuk mengimbas semula tajuk tersebut dan menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengannya.
Matlamat meningkatkan komitmen diri.
Secara tidak langsung apabila anda punya matlamat maka anda merasakan suatu komitmen perlu diambil untuk memenuhinya. Sebab sekiranya anda terlalai untuk mengikut setiap perancangan yang telah dijadualkan bermakna anda menggadai masa depan anda sendiri. Mata pelajaran Sains seperti di atas tidak mungkin dapat dihabiskan hanya sekiranya anda meletakkan komitmen untuk mengikut jadual harian anda sendiri.
Ingatlah, manusia yang berjaya ialah manusia yang mempunyai komitmen yang tinggi terhadap senarai tugas atau perancangan hariannya.
Matlamat membantu anda membuat keputusan.
Dalam kehidupan seharian anda pasti menyedari betapa sukarnya untuk mendisiplinkan diri mengikut jadual harian anda. Malah mereka yang mampu mengikut jadual harian jumlahnya terlalu kecil, hanya sekitar 5% sahaja. Yang lain, sama ada langsung tidak mempunyai jadual harian atau ada jadual tetapi sekadar hiasan dinding dan tidak pernah diikuti. Kenapa ini berlaku? Jawapannya ialan sebab kita bukannya robot dan bukannya mesin yang boleh dijadualkan untuk berfungsi mengikut masa-masa yang ditetapkan setiap hari. Malah saya sendiri tidak yakin bahawa jadual adalah penyebab kejayaan seseorang.
Sebagai manusia kita tertakluk kepada begitu banyak
faktor-faktor luar jangka, misalnya anda mahu belajar tetapi mak minta jaga
adik, ayah minta pergi kedai. Sebentar lagi ialah waktu untuk buat kerja
sekolah tapi di TV pula ada perlawanan akhir bola sepak. Semuanya ini
antara penyebab kenapa anda sukar mengikut jadual belajar anda. Tetapi
dengan adanya matlamat anda pada bila-bila masa boleh mengubah perancangan
harian anda asalkan ia tidak meninggalkan kesan atas perancangan jangka panjang
anda. Anda boleh tidak belajar mengikut masa yang ditetapkan tetapi anda
perlu ganti semula dan belajar pada waktu yang lain. Yang penting belajar
tetap belajar. Yang penting setiap tajuk perlu dihabiskan dalam masa satu
minggu seperti perancangan asalnya. Be flexible!!
Matlamat membantu anda mendapatkan
pertolongan.
Apabila anda mempunyai matlamat anda mula mengatur perancangan. Apabila anda bertindak melengkapkan perancangan, anda mula menyedari dan mengenali kelemahan-kelemahan yang ada pada diri anda. Ini memudahkan anda mendapatkan pertolongan. Anda mungkin perlu berjumpa guru setelah mengetahui ada bahagian-bahagian tertentu dalam sesuatu mata pelajaran yang tidak anda fahami. Anda mungkin bertemu rakan-rakan dan berbincang dengan mereka. Ingat tidak ada rakan yang mahu membantu anda disaat-saat akhir kerana mereka sendiri sibuk menelaah pelajaran untuk menghadapi peperiksaan.
Matlamat pengukur kejayaan.
Matlamat tidak akan tercapai dengan
angan-angan atau impian kosong. Ia perlu disusuli dengan tindakan.
Kejayaan besar yang diimpikan esok hari ialah himpunan kejayaan-kejayaan kecil
yang diraih setiap hari. Apakah kayu pengukurnya untuk memastikan yang
setiap hari anda berjaya? Bagaimana anda tahu bahawa anda telah
berjaya? Pengukur kepada kejayaan ialah matlamat yang telah
dirancang. Sekiranya anda telah melakukan tindakan dan menyelesaikan
tugas seperti yang dirancang maka anda dikatakan sebagai berjaya. Hari
demi hari tanpa anda sedari anda mendaki puncak kejayaan yang lebih besar dan
lebih bermakna. Jadi pastikan sekarang bahawa matlamat anda tidak terlalu
kecil sehingga ia tidak bermakna, dan tidak pula terlalu besar hinggakan anda
rasakan mustahil untuk mencapainya.
Tetapkan satu matlamat yang anda
begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya.
No comments:
Post a Comment