Allah Maha
Berkuasa untuk mengurniakan petunjuk dan hidayah-Nya kepada sesiapa yang
dikehendaki-Nya. Hanya dengan petunjuk dan hidayah Allah sahajalah yang dapat
mengubah manusia dan kehidupannya dari kekufuran kepada keimanan, dari
kemaksiatan kepada ketakwaan, dari kezaliman kepada keadilan, dari kegelapan
kepada cahaya kebenaran dan dari kegelisahan kepada ketenangan jiwa.
Sehubungan itu, Allah berfirman maksudnya:
Sesiapa yang Allah kehendaki mendapat
hidayah nescaya dilapangkan dadanya untuk menerima Islam dan sesiapa yang
dikehendaki sesat nescaya dijadikan dadanya sempit dan sesak seolah-seolah naik
ke langit. Demikianlah Allah menimpakan kehinaan kepada orang yang tidak
beriman.
(Surah al-An’am, ayat 125)
Jelas di sini
bahawa Allah sahaja yang berkuasa untuk mengurniakan hidayah petunjuk-Nya
kepada mana-mana manusia yang dikehendaki-Nya supaya beriman kepada-Nya. Orang
yang mendapat hidayah Ilahi tersebut akan segera merasa lega dan lapang
dadanya. Sebaliknya orang yang tertutup pintu hatinya dari menerima hidayah
Allah itu akan merasa cemas dan buntu sebagai balasan di atas penderhakaannya
kepada Allah.
Hidayah itu ialah
petunjuk yang dikurniakan Allah kepada manusia untuk mencapai kesejahteraan dan
kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Berdasarkan definisi di atas,
dapatlah disimpulkan bahawa hidayah mempunyai pelbagai dimensi tafsiran, di
antaranya hidayah Islam, hidayah al-Quran, hidayah Nabi dan para sahabatnya,
hidayah kebenaran, hidayah jalan yang lurus dan sebagainya. Biar apa pun tafsiran
dari sudut klasifikasi hidayah, namun pengertiannya yang beraneka itu tetap
membawa maksud yang sama iaitu hidayah petunjuk ke arah kesejahteraan dan
kebahagiaan abadi.
Islam
menganjurkan umatnya agar sentiasa memohon hidayah petunjuk daripada Allah ke
arah jalan yang benar. Lebih-lebih lagi perjalanan hidup yang penuh berliku
semestinya ditempuhi oleh setiap insan menuntut sedikit sebanyak ketabahan,
kesabaran dan pertolongan Ilahi agar dia berjaya dalam hidupnya. Oleh sebab
itulah, Islam mensyariatkan amalan berdoa dan memohon petunjuk daripada Allah
kepada setiap Muslim yang beriman kepada-Nya.
Perlu diinsafi bahawa hidayah petunjuk
yang dianugerahkan Allah kepada seseorang manusia sebenarnya tidak boleh diukur
berdasarkan kepada keadaan lahiriah semata-mata. Sebaliknya, ia amat bergantung
kepada keimanan dan ketakwaan yang bertapak kukuh dalam jiwa sanubari seseorang
manusia. Dalam erti kata lain, Allah hanya mengurniakan hidayah-Nya kepada
hamba-hamba yang benar-benar beriman dan bertakwa sahaja. Firman Allah yang
bermaksud: Wahai umat manusia!
Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran
dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada
di dalam dada kamu; dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta
membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.
(Surah Yunus,
ayat 57)
Selanjutnya,
hidayah Allah tidak ada kaitan dengan hubungan pertalian darah atau
kekeluargaan atau kaum kerabat. Dengan maksud lain, ada orang yang mendapat
hidayah petunjuk dari Allah dan hidup bahagia serta taat kepada segala titah
dan perintah Ilahi, akan tetapi anaknya adalah seorang yang amat derhaka kepada
Allah dengan melakukan segala kemungkaran dan maksiat yang terlarang
sebagaimana kisah yang berlaku kepada Nabi Nuh a.s. dan anaknya. Begitu juga
Rasulullah sendiri dengan bapa saudaranya Abu Lahab.
Sebaliknya ada
juga orang fasik yang sentiasa bergelumang dengan dosa tetapi anaknya pula
adalah seorang yang soleh dan patuh kepada ajaran Islam. Ini berlaku kepada
Nabi Ibrahim dengan ayahnya yang juga seorang pengukir patung berhala.
Oleh sebab itu,
kita tidak boleh menyangka bahawa orang yang selalu melakukan kejahatan itu
susah untuk menerima kebenaran dan kesedaran serta tidak akan mendapat hidayah daripada
Allah kerana hanya Allah sahaja yang berkuasa memberikan hidayah-Nya kepada
sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.
Dari sini, dapat
disimpulkan bahawa hidayah petunjuk adalah di bawah bidang kuasa Allah sahaja
sehingga para nabi dan rasul sekalipun tidak mampu untuk memberi hidayah kepada
sesiapa yang dikehendakinya. Ini kerana Allah menegaskan bahawa para nabi dan
rasul diutuskan untuk menyampaikan berita gembira dan peringatan serta menyeru
manusia ke jalan yang benar dengan izin-Nya. Tentang mereka sama ada kelak akan
menjadi orang yang memperolehi hidayah petunjuk atau tidak, urusan tersebut
terpulang kepada Allah semata-mata. Bagi para nabi dan rasul, tugasnya hanyalah
menyampaikan sahaja kerana tidak ada siapa yang dapat memberi petunjuk melainkan
Allah sahaja.
Sehubungan itu
Allah berfirman yang bermaksud: Tidaklah kamu diwajibkan (wahai Muhammad)
menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk, (kerana kewajipanmu hanya
menyampaikan petunjuk) akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan
memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang
peraturan-Nya). Dan apa jua harta halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah)
maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri. Dan kamu pula
tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah. Dan apa
jua yang kamu dermakan dari harta yang halal akan disempurnakan (balasan
pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.
(Surah al-Baqarah, ayat 272)
Ibnu Kathir dalam
kitab tafsirnya Tafsir al-Quran al-Azim ada menyebut sebab turunnya ayat suci
tersebut ialah terdapat beberapa orang Islam yang bersedekah kepada fakir
miskin perduduk Madinah, kemudian setelah ramai bilangan orang yang masuk
Islam, maka Rasulullah telah menegah daripada memberi sedekah kepada
orang-orang musyrikin. Tujuannya ialah untuk menarik mereka supaya menganut
Islam kerana Rasulullah sangat mengambil berat akan hal ehwal mereka. Lalu
turunlah firman Allah tersebut yang memerintahkan baginda agar terus memberikan
sedekah kepada mereka.
Biarpun hidayah
Allah itu menjadi milik mutlak Allah, namun umat Islam dituntut untuk
menyampaikan dakwah Islam kepada orang-orang bukan Islam kepada ajaran Islam
dan beriman kepada Allah. Untuk itu, Islam telah menggariskan tiga kaedah
berdakwah yang berkesan sebagaimana termaktub dalam firman Allah yang
bermaksud: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah
kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka
(yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu
Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya dan
Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah
petunjuk.
(Surah al-Nahl, ayat 125)
Ayat suci di atas
menegaskan bahawa dakwah yang baik dan berkesan seperti yang dianjurkan oleh
Islam hendaklah berpaksikan kepada tiga kaedah berikut iaitu:-
- · Berdakwah secara hikmah atau bijaksana
- · Memberi pengajaran atau contoh teladan yang baik
- · Bertukar-tukar fikiran atau berdialog dengan cara yang lebih baik .
Oleh itu, setiap
Muslim sewajibnya mempergiatkan usahanya untuk berdakwah dan juga bersabar
dalam menjalankan usaha-usaha dakwah Islamiah kepada bukan Islam agar ia
mencapai matlamat yang disasarkan Islam iaitu keadilan Islam dan keharmonian
hidup serta kecemerlangan dalam segala lapangan hidup . Hidayah dan petunjuk
Allah akan sentiasa mengiringi setiap langkah dan jalan yang diterokai oleh
orang yang beriman dan bertakwa kepada-Nya dalam rangka untuk menegakkan
kalimah Allah di muka bumi Allah ini.
src :
http://blogs.udm.edu.my/drkuzaki/2008/05/12/hidayah-petunjuk-allah
: http://4ayesha.blogspot.com/2008/08/hidayah-petunjuk-allah.html
No comments:
Post a Comment