Demam itu ialah penyakit yang menyebabkan suhu tubuh
melebihi suhu biasa. Jika demikian tiada siapa pun yang tidak pernah merasa
demam, namun apakah hakikat penyakit demam itu sebenarnya dari sudut agama dan
apakah pula hikmahnya?
Hakikat Demam.
Sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Omar
Radhiallahu anhuma mengatakan yang maksudnya :
"Demam berasal
dari kepanasan api neraka yang mendidih, maka padamkanlah ia dengan air".
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu
anha dari Nabi Shallallahu alaihi wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya :
"Demam adalah dari panas api neraka
yang mendidih, dari itu dinginkanlah ia dengan air".
(Hadith
riwayat Muslim)
Dalam kitab Umdah Al-Qari menyebutkan bahawa panas yang
lahir dari tubuh orang yang demam itu adalah secebis daripada kepanasan api
neraka. Allah telah menzahirkannya pada diri orang yang demam itu dengan
sebab-sebab yang tertentu agar dia mengambil iktibar daripadanya, sebagaimana
Allah telah menzahirkan berbagai jenis
kegembiraan dan kenikmatan yang berasal dari nikmat-nikmat
syurga untuk menjadi pengajaran dan petunjuk baginya.
Sebahagian ulama berpendapat bahawa apa yang dimaksudkan
dengan kepanasan api neraka di sini ialah satu perumpamaan antara panas orang
yang demam dengan panas api neraka sebagai peringatan kepada diri manusia
betapa panasnya api neraka. Namun pendapat ini disanggah oleh Ath-Thayyibi
dengan mengatakan bahawa ia tidak sesuai untuk dijadikan sebagai perumpamaan,
bahkan demam itu memang lahir atau berasal dari kepanasan api neraka sedari
mula atau sebahagian dari hembusan api neraka.
Adapun maksud "mendinginkannya dengan air" itu
menurut Ibnu Al-Ambari ialah bersedekah dengan air, kerana ada riwayat
mengatakan bahawa sedekah yang paling afdhal itu ialah memberi minum air.
Mengeluh Dan Mengadu Kerana Demam.
Memang tidak dinafikan bahawa ada setengah orang mengeluh
kerana demam atau mengerang kerana kesakitan. Apakah perbuatan ini diharuskan
dalam agama?
Sebenarnya kita tidak dilarang untuk mengadu atau
mengeluhkan kesakitan kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Apa yang dilarang
ialah kita mengeluh dan mengadukannya kepada orang lain sesama manusia. Nabi
Shallallahu alaihi wasallam sendiri, para sahabat
dan pengikut-pengikut mereka, pernah mengadukan kesakitan
mereka.
Diriwayatkan bahawa Al-Hasan Al-Bashri sewaktu
sahabat-sahabatnya datang ke rumahnya, mereka menemuinya sedang mengadukan
sakit giginya kepada Allah Subhanahu Wa Taala dengan berkata yang ertinya :
Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang
Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada (yang lain) yang mengasihani.
Adapun yang dimaksudkan dengan larangan mengadukan kesakitan
kepada sesama manusia itu ialah mengadukannya dengan cara merasa jemu dan benci
dengan penyakit itu. Akan tetapi jika seseorang itu memberitahu atau menceritakan
penyakitnya kepada
kawan-kawannya supaya mereka dapat mendoakannya sembuh, maka
dalam hal ini tidaklah menjadi satu kesalahan. Begitu juga jika seseorang itu
mengeluh kerana sakit, tetapi keluhannya itu boleh mendatangkan kerehatan
kepadanya atau boleh meredakan
kesakitannya, maka tidaklah juga menjadi apa-apa.
Al-Quran ada menceritakan tentang kesabaran Nabi Ayyub
Alaihissalam dalam menempuhi segala penderitaan. Di antara penderitaan yang
Nabi Ayyub alami ialah berpenyakit gatal. Penyakit gatal ini sangat dahsyat.
Apabila digaru dengan kuku, maka kuku baginda akan tanggal, tetapi masih juga
bertambah gatal. Kemudian baginda terpaksa menggarunya dengan barang yang
kesat. Tidak cukup dengan itu, baginda menggaru badannya dengan pecahan periuk
dan akhirnya dengan batu. Namun masih juga merasa gatal. Sehingga dengan tidak
disedarinya dagingnya telah luka dan koyak. Maka keluar dari tubuh baginda yang
luka itu, nanah yang baunya sangat busuk. Orang ramai yang tinggal di
sekitarnya tidak tahan dengan bau busuk itu, lalu mereka keluarkan Nabi Ayyub
dari negeri tempat tinggalnya ke tempat terpencil. Semua orang memencilkannya
kecuali isterinya yang merawatnya.
Nabi Ayyub tidak pernah mengeluh dengan apa yang menimpanya,
bahkan dia bersifat sabar dan tahan menderita. Apa yang dilakukannya hanyalah
bermohon kepada Allah agar mengasihaninya. Cubalah kita perhatikan permohonan
Nabi Ayyub yang disebutkan di dalam Al-Quran :
Tafsirnya : "Dan Nabi Ayyub, ketika dia berdoa
merayu Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku disentuh (ditimpa) penyakit,
sedang Engkaulah saja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang
mengasihani" .
(Surah
Al-Anbiya¡¦: 83)
Jika kita perhatikan kalimat-kalimat yang disebut oleh Nabi
Ayyub Alaihissalam dalam ayat ini, alangkah halusnya budi bahasa baginda dalam
rayuannya kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Baginda menyebut "aku
disentuh" dan tidak menyebut perkataan "aku ditimpa". Di sini
menggambarkan bahawa celaka itu sendiri yang datang menyentuh dirinya. Nabi
Ayyub tidak menyebut juga "atas kehendakMu", kerana kesopanannya yang
sangat tinggi terhadap Allah Subhanahu Wa Taala. Selepas itu, rayuan baginda
disudahi dengan kata-kata yang halus juga iaitu: "Sedang Engkaulah sahaja
yang lebih mengasihani daripada segala yang mengasihani" .
Pada suku kata pertama, Nabi Ayyub mengadukan perasaannya
yang dapat menimbulkan rasa kasihan dan pada suku kata kedua disebutkannya
sifat Allah yang lebih pengasih daripada sesiapa jua pun yang pengasih. Hanya
inilah permohonan Nabi Ayyub kepada
Allah. Dia tidak merungut dan mengeluh, apatah lagi
menyesali apa yang telah berlaku. Dia cuma memohon belas kasihan daripada Allah
Subhanahu Wa Taala.
Inilah satu kisah yang patut kita ambil iktibar, pengajaran
dan contoh tauladan daripadanya. Walaupun Nabi Ayyub telah ditimpa penyakit,
harta bendanya punah-ranah, anak-anaknya ditimpa malang dan mati semuanya,
tetapi berkat sabarnya dan imannya, Allah Subhanahu Wa Taala telah mengabulkan
doa dan rayuannya, lalu dia pun sembuh seperti sediakala dan berkembanglah
keturunannya serta dikurniakan harta benda yang melimpah ruah.
Mencaci-maki Demam.
Selaku seorang muslim yang beriman, sepatutnya memiliki
sifat sabar dan tidak mengeluh apabila ditimpa demam. Orang yang tidak
mempunyai sifat sabar semasa ditimpa demam, mungkin tidak akan dapat mengawal
dirinya dari mencaci maki penyakit ini, sedangkan kita dilarang berbuat
demikian oleh Nabi Shallallahu alaihi wasallam. Ini bersandarkan kepada sebuah
hadith yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallahu anhu yang maksudnya :
"Bahawasanya Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam
telah berkunjung ke rumah Ummu Saib atau Ummu Musayyib, lalu Baginda bersabda:
"Apa halnya engkau wahai Ummu Saib atau Ummu Musayyib
menggigil?
Dia menjawab: "Demam, semoga Allah tidak memberikan
berkat kepadanya".
Nabi
Shallallahu alaihi wasallam bersabda: "Jangan
engkau memaki penyakit demam, kerana dia menghilangkan kesalahan Bani Adam
(manusia) sebagaimana landasan (tukang besi) menghilangkan kotoran (karat)
besi".
(Hadith
Riwayat Muslim)
Begitulah, segala apa jua yang datang daripada Allah, sama
ada berupa rahmat, hendaklah kita syukuri, atau berupa musibah, maka hendaklah
kita sabar menempuhinya.
Demam Penebus Dosa.
Sebenarnya larangan mencaci maki demam itu mempunyai rahsia
atau hikmat tertentu yang wajar kita ketahui dan ingati.
Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Muslim daripada
Jabir Radhiallahu anhu yang disebutkan sebelum ini, mempunyai maksud yang sama.
Jelasnya, kedua-dua hadith ini menerangkan bahawa demam yang menimpa seseorang
itu boleh menghapuskan dosa-dosanya yang telah lalu.
Jadi, ditimpa demam itu adalah sesuatu yang menguntungkan,
kerana ia menghapuskan dosa, natijah yang lain, ia akan memantapkan keimanan.
"Ya Allah, selamatkanlah umat Islam yg sedang sengsara
di Lubnan, Palestin, Afghanistan, Iraq, Chechnya serta diseluruh pelosok dunia
akibat dari angkara mungkar dan kekejaman musuh-musuh Mu. Peliharakanlah
mereka, lindungilah mereka, kasihanilah mereka dan berikanlah rahmatMu ke atas
mereka.
Amin, ya Rabbal A'lamin."
Nukilan : Junhairi bin Abd Jalil
: http://4ayesha.blogspot.com/2008/08/rahsia-di-sebalik-demam.html
No comments:
Post a Comment